Lelaki didakwa isytihar secara palsu butiran SHN, ditemui bersama pekerja pindah rumah, keluarga tanpa sejarah perjalanan sama
Lelaki didakwa isytihar secara palsu butiran SHN, ditemui bersama pekerja pindah rumah, keluarga tanpa sejarah perjalanan sama
SEORANG lelaki Korea Selatan didakwa membuat pengisytiharan palsu kepada pihak berkuasa Singapura selepas tiba di Lapangan Terbang Changi pada 25 November tahun lalu.
Ko Kyung Ho, 45 tahun, dikatakan mengesahkan dia akan menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) seorang diri di rumah atau bersama anggota isi rumah dengan sejarah perjalanan sama.
Namun pada 26 November apabila pegawai penguat kuasa datang ke rumahnya di kondomunium Charleston di Shanghai Road berhampiran River Valley Road, mereka mendapati tiga anggota keluarganya iaitu isteri dan dua anak mereka yang tidak memiliki sejarah perjalanan serupa ada bersamanya.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataannya berkata sembilan pekerja pindah rumah juga ditemui di apartmen itu pada hari itu.
Ko, seorang penduduk tetap Singapura, didakwa pada Khamis (1 April) dengan dua kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.
Dia dituduh membuat pengisytiharan palsu pada permohonannya untuk dikecualikan daripada menjalani SHN di kemudahan khusus. Ko sepatutnya menjalani SHN dari 25 November hingga 9 Disember tahun lalu.
Dia dikatakan telah mendedahkan orang lain pada potensi risiko jangkitan Covid-19 di rumahnya.
Sejak 11 Ogos tahun lalu, semua pengembara yang menjalani SHN di luar kemudahan khusus perlu menggunakan alat pemantau elektronik sepanjang tempoh kuarantin.
ICA menambah dengan rejim pengawasan yang dipertingkat ini, pemerintah berupaya mengambil pendekatan lebih berdasarkan risiko dan membenarkan pengunjung dari negara atau rantau terpilih untuk dikecualikan daripada menjalani SHN 14 hari di kemudahan khusus.
Ko diikat jamin dengan $10,000 pada Khamis. Kesnya akan didengar lagi pada 22 April.
Bagi setiap tuduhan di bawah Akta ini, seorang pesalah kali pertama boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000. Pesalah berulang boleh didenda hingga setahun atau didenda hingga $20,000.

