
SEORANG lelaki didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai polis dan meludah seorang lagi pegawai.
Ini selepas dia didakwa didapati tidak memakai pelitup yang menutup hidung dan mulutnya semasa berada di luar kelmarin (2 Mei).
Lelaki warga Singapura itu, Pay Kiaw Keng, 60 tahun, menghadapi tuduhan menyebabkan gangguan, menggunakan kekerasan jenayah terhadap kakitangan awam serta bagi satu lagi kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) 2020.
Dia didakwa tidak memakai pelitup di kolong Blok 644, Hougang Avenue 8 sekitar 9 pagi kelmarin.
Selepas ditangkap dan dibawa dalam sebuah kenderaan polis, dia didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap Sarjan Muhamad Danish Haikal Donny Budiarto Indarto.
Semasa berada dalam lokap di Divisyen Polis Woodlands sekitar 10.30 pagi, dia didakwa meludah tangan kanan Sarjan Konstabel Khas Muhammed Shariz Sazali.
Pay ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi penilaian psikiatri dan kesnya akan didengar lagi di mahkamah pada 18 Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg