SEORANG lelaki, yang dirakam dalam video menghayun pedang ke arah pejalan kaki dan beberapa kereta berhampiran pusat beli-belah Buangkok Square, didakwa semalam dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan pedang samurai.
Fadhil Yusop, 37 tahun, dihadapkan ke mahkamah daerah semalam melalui pautan video memakai baju putih dengan lengan kirinya dalam anduh.
Dia didakwa menggunakan pedang samurai untuk mengelar Encik Amila Chinthana sebanyak tiga kali pada Isnin lalu, menyebabkan mangsa cedera di lengan dan bahu kiri.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata Fadhil dikatakan telah mengambil beberapa pil yang tidak diketahui sebelum meninggalkan rumahnya pada Isnin lalu dengan membawa pedang.
Dia bertengkar sebentar dengan orang awam di lobi lif blok Lembaga Perumahan tempat dia tinggal.
"Seterusnya, dia berjalan sembarangan di jalan raya dan dikatakan menghentakkan senjatanya ke atas lima kereta yang berlalu," kata polis.
Di simpang trafik di depan pusat beli-belah Buangkok Square, dia dikatakan menghayun senjata itu ke arah Encik Chinthana, yang melawan balik dan berjaya membendung Fadhil.
Orang ramai yang melihat kekecohan itu bergegas membantu menahan Fadhil hingga polis tiba.
Dia didakwa menjerit "Allahu Akbar" semasa kejadian itu.
Siasatan sejauh ini menunjukkan perbuatannya itu tidak berkait dengan pengganasan.
Dalam serbuan di rumahnya, polis menemui dua paket pil berwarna kuning.
Dua lelaki cedera dalam kejadian itu - seorang mengalami luka kelaran ringan pada lengannya manakala seorang lagi luka di lutut.
Mahkamah mendengar bahawa Fadhil akan ditahan reman tiga minggu di pusat perubatan Kompleks Penjara Changi untuk pemerhatian psikiatri dan kesnya akan dibicarakan semula pada 6 April.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja, dia boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda dan dirotan, atau mana-mana gabungan ketiga-tiganya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) kelmarin berkata mereka sebelum ini telah menyiasat Fadhil pada 2016 kerana mengongsi imej kumpulan militan dalam talian.
Bagaimanapun, tidak ada tanda bahawa dia diradikalkan atau berniat untuk terlibat dalam keganasan bersenjata, kata ISD.
Sekitar empat tahun kemudian pada Januari 2020, Fadhil ditahan polis kerana menghampiri imam di Masjid Al-Mawaddah di Buangkok dengan sebilah pisau. Siasatan bersama ISD dengan polis pada masa itu tidak menunjukkan bahawa serangan Fadhil ada kaitan dengan pengganasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg