DUA pekerja migran sedang berteduh ketika hujan apabila seorang lelaki melontarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap mereka.
Salah seorang pekerja itu merakam cacian Lee Poh Kian terhadap mereka.
Warga Singapura itu dilaporkan berkata:
"Kau masuk negara saya adalah salah... Pemerintah ini juga tidak sah. Kita akan keluarkan kau."
Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Sean Teh berkata Lee, 56 tahun, berasakan bahawa dia berhak menggunakan kata-kata sedemikian terhadap Encik Ratnasingam Jatheesan dan Encik Krishnan Karthikeyan kerana "keadaan jenayah" dan "kesesakan di Singapura yang disebabkan oleh warga asing" .
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan kerakyatan dua pekerja asing itu.
Hakim Daerah Chay Yuen Fatt semalam mensabitkan Lee atas dua tuduhan gangguan dan satu kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara), kerana Lee juga tidak memakai pelitup ketika dia mendekati dua lelaki itu.
Lee juga berasa dia ada "hak perlembagaan" untuk berkata demikian kepada Encik Ratnasingam dan Encik Krishnan, kerana mereka berada "di kawasan kediamannya".
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu tidak pernah berinteraksi dengan Lee sebelum kejadian tersebut.
DPP Teh berkata bahawa kata-kata Lee telah menyebabkan Encik Krishnan berasa sedih, tertekan dan dihina.
Mitigasi dan hukuman terhadap Lee akan berlangsung pada 21 Jun.
Bagi setiap tuduhan gangguan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $5,000.
Bagi kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara), pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg