Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel bantu 2 warga Indonesia dapatkan IC palsu

Sep 14, 2023 | 8:49 PM
DAPATKAN IC PALSU: Mohamad Norrahhi didapati salah membantu dua lelaki Indonesia mendapatkan IC palsu. 
DAPATKAN IC PALSU: Mohamad Norrahhi didapati salah membantu dua lelaki Indonesia mendapatkan IC palsu.  - Foto ST

Seorang lelaki warga Singapura dipenjara lima bulan kerana bersubahat dan membantu dua lelaki Indonesia mendapatkan kad pengenalan (IC) palsu Singapura.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata Mohamad Norrahhi Noman, 48 tahun, telah membantu lelaki Indonesia, Onky Febrian, untuk mendapatkan IC palsu.

Apabila Onky, 28 tahun, tiba di Singapura pada 31 Oktober 2022, Norrahhi menerima $550 daripadanya dan memberinya IC palsu yang mempunyai identiti berbeza. IC tersebut bagi tujuan pengenalan apabila majikan Onky meminta IC miliknya.

Onky juga tinggal di rumah Norrahhi di Boon Lay Drive dan pulang ke Indonesia pada 15 November 2022, selepas bekerja selama 14 hari di Singapura.

ICA berkata Onky kemudian berkenalan dengan Asrul Muzahar, 23 tahun, seorang lagi lelaki warga Indonesia yang juga berminat bekerja di Singapura.

Kededua lelaki itu tiba di sini pada 8 Januari 2023 dan berkunjung ke rumah Norrahhi dan membayar $200 setiap seorang kepadanya untuk mendapatkan IC palsu Singapura yang mempunyai identiti berbeza.

Mereka yang mula bekerja sebagai pembersih di sebuah pusat beli-belah pada hari berikutnya, telah diminta oleh Norrahhi untuk menghafal butiran IC masing-masing dan tidak memberitahu sesiapa bahawa mereka warga Indonesia.

Pada 12 Januari, pegawai polis menjalankan pemeriksaan rutin ke atas Onky dan Asrul dan mendapati butiran pada IC mereka berbeza dengan identiti sebenar mereka.

Mereka kemudiannya ditangkap kerana memiliki IC palsu Singapura dan dirujuk kepada ICA, yang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan Norrahhi. Dia ditahan di rumahnya di Boon Lay Drive pada 31 Januari oleh pegawai ICA.

Onky dan Asrul didapati bersalah dan masing-masing dihukum penjara dua bulan pada 20 Januari lalu kerana memiliki kad pengenalan palsu Singapura di bawah Akta Pendaftaran Negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg