Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara 12 minggu, didenda $3,500 kerana kesalahan yang dilakukan semasa mabuk termasuk tampar bekas isteri

Oct 28, 2021 | 8:07 PM
-

BEKAS isterinya mempunyai perintah perlindungan peribadi (PPO) tetapi ini tidak menghalang Abu Bakar Abdul Karim untuk menampar si isteri selepas mereka bertemu dan bertengkar.

Keesokan harinya, selepas syifnya sebagai pekerja ambulans selesai, lelaki Singapura itu minum 500 milimeter arak 'vodka' di pusat penjaja dan mengganggu pula pihak polis yang datang untuk meleraikan pertengkaran antaranya dan seorang lagi pelanggan.

Pada Khamis, Abu Bakar, 57 tahun, mengaku bersalah di atas lapan kesalahan termasuk mengganggu dan tampil mabuk di tempat awam.

Dia dipenjara 12 minggu dan didenda $3,500 kerana turut merosakkan bas awam dan memanjat ke dalam kereta polis bagi merakam gambar kerana didorong minuman arak tadi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Bryont Chin memberitahu mahkamah bahawa selepas minum di rumahnya pada 6 April tahun ini sewaktu bebas kerana diikat jamin, Abu Bakar menghubungi bekas isterinya untuk bertemu di kolong blok wanita berkenaan. Dokumen mahkamah tidak menjelaskan mengapa dia diikat jamin.

Bekas isterinya meminta adiknya agar ikut serta kerana mengesyaki Abu Bakar mabuk.

Abu Bakar mula memarahi bekas isterinya kerana tidak menjenguk anak lelaki mereka yang tidak tinggal bersama mereka. Satu pertengkaran berlaku di mana Abu Bakar menampar isterinya dan melanggar PPO.

Adik isterinya menghubungi polis.

Keesokan harinya, selepas habis bertugas sekitar 6 petang, Abu Bakar minum arak 'vodka' di Pusat Penjaja Circuit Road. Petang itu, dia bertemu seorang pelanggan dan mula membebel.

Satu pertengkaran berlaku di mana dia menolak mangsa di dadanya, menyebabkan kaca matanya terjatuh. Polis dihubungi dan apabila mereka tiba dan menangkap Abu Bakar, dia melontar kata-kata kesat kepada salah seorang daripada mereka.

Abu Bakar berdepan dengan beberapa tuduhan lain kerana kesalahan terhadap polis.

Setelah minum dua botol arak pada 5 Mei tahun lalu, dia ke pasar raya untuk minum sebotol arak lagi. Apabila polis dihubungi, dia melontar kata-kata kesat ke arah polis.

Pada 9 Ogos tahun lalu, ketika mabuk juga, dia memanjat kereta polis, baring di atas bumbung kereta itu dan merakam gambarnya.

Dia juga berdepan dengan satu lagi tuduhan membuat panggilan telefon kepada talian kecemasan polis 999 dengan niat mengganggu pada 11 Jun tahun ini. Dia menggunakan kata-kata kesat kepada operator talian tersebut.

Kesalahan terkininya pada 27 September tahun ini. Selepas minum dengan beberapa teman, Abu Bakar duduk di tengah-tengah jalan Ubi View. Dia kemudian berjalan ke arah sebuah kereta yang mempunyai pemandu dan mengetuk jendela kereta beberapa kali.

Dia kemudian berdiri di depan bas awam dan menghalangnya dari bergerak. Dia menumbuk cermin depan kereta itu beberapa kali dan cuba membengkokkan pengelap cermin kanan depan kereta itu.

Kerosakan yang dilakukannya itu bernilai $671.

Pihak pendakwa meminta agar hukuman sembilan hingga 15 minggu penjara dan denda antara $3,200 hingga $4,800 dikenakan ke atasnya yang didapati sering mabuk dan menimbulkan masalah buat polis dan orang awam.

Abu Bakar yang tidak diwakili peguam muncul di mahkamah menerusi pautan video dan meminta agar hukumannya diringankan dengan mengatakan dia ingin membina hidup baru di samping mempunyai anak dan cucu.

Dia menambah dia ingin kembali ke bidang perubatan untuk membantu orang.

Hakim Daerah Christopher Goh menetapkan hukuman bermula 7 Oktober lalu apabila Abu Bakar mula ditahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg