Seorang lelaki mencabul kehormatan anak tirinya berusia 11 tahun semasa berehat di katil bersama isterinya dan mangsa.
Ia berlaku tanpa pengetahuan isterinya, iaitu ibu mangsa.
Dia mencabul anak itu sekali lagi pada bulan berikutnya, menyebabkan budak perempuan itu mula mengelar pergelangan tangannya beberapa kali bagi mengatasi tekanan.
Lelaki 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan dan tujuh sebatan pada 24 September, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan mencabul.
Dia tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Clara Low, memberitahu mahkamah lelaki itu sedang berbaring di katil bersama isteri dan anak tirinya itu pada petang Januari 2023 apabila dia mencabul budak itu dengan meletakkan tangannya di pangkal pahanya.
Pada hujung Februari 2023, lelaki dan mangsa bersendirian di flat mereka apabila dia mencabulnya lagi.
Mangsa tidak selesa dan jengkel apabila bapa tirinya menyentuhnya dan mahu melarikan diri dari rumah.
Pada 3 Mac 2023, seorang guru terlihat luka di pergelangan tangan mangsa dan memaklumkan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.
Mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK untuk pemeriksaan kesihatan.
Pesalah ditangkap dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Laporan perubatan pada 17 Julai 2023 menyatakan mangsa mempunyai parut nipis di pergelangan tangan kanannya.
DPP Low menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hingga empat tahun dua bulan dengan tujuh sebatan.
Beliau berkata perbuatan lelaki itu mengeksploit kedudukan dan amanahnya sebagai bapa tiri mangsa adalah faktor yang mesti diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
“Ada keperluan bagi kanak-kanak kecil dilindungi di rumah mereka sendiri dan membesar serta membangun dalam persekitaran selamat,” ujarnya.
Lelaki itu dibenarkan ikat jamin $20,000 dan dijangka mula menjalani hukuman pada 25 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg