SELEPAS pulang ke rumah setelah selesai membuat persembahan bagi acara tamat persekolahan tadika, budak perempuan enam tahun ini baring di sebelah lelaki yang disangka bapa kandungnya.
Lelaki yang tidak memakai baju itu mendesak budak itu melakukan sesuatu yang lucah ke atasnya dan mencabul kehormatannya. Perkara ini berlaku pada 2009.
Dalam masa beberapa tahun sejak itu, lelaki itu mula mendera secara seksual budak yang merupakan anak angkatnya.
Kesalahan itu hanya diketahui pada 2 Oktober tahun lalu apabila budak perempuan itu memberitahu kaunselor sekolah dan pengetuanya. Laporan polis kemudian dibuat.
Di mahkamah pada Khamis (18 November), lelaki yang kini berusia 65 tahun itu dihukum penjara 32 tahun dengan tambahan jel 10 minggu bagi menggantikan hukuman sebat.
Dia mengaku bersalah di atas satu dakwaan mencabul kehormatan individu bawah umur dan satu lagi kesalahan mencabul.
Lelaki itu (sebelum penangkapannya) dan isterinya, kedua-duanya penjaja, serta mangsa tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.
Menganggap kes ini sebagai menyedihkan sewaktu menjatuhkan hukuman di mahkamah, Hakim Daerah Janet Wong berkata tindakan yang hina ini telah membawa impak yang ketara buat mangsa di samping wujudnya salah guna kepercayaan dan unsur tersembunyi lagi berbahaya berupa antun seksual.
Antun seksual adalah situasi di mana kanak-kanak dijadikan rakan dan dipujuk dalam menjalinkan hubungan seksual.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tay Jingxi berkata dalam dokumen mahkamah bahawa mangsa diambil sebagai anak angkat ketika masih bayi tetapi tidak tahu tentang perkara ini hinggalah hari laporan polis dibuat.
Sedang si isteri membawa peranan sebagai penguatkuasa disiplin, pesalah pula kononnya membawa peranan sebagai ayah yang memanjakan mangsa walaupun menderanya.
Mangsa hanya tahu apa yang dilakukan ayahnya merupakan satu penderaan seksual pada 2014 apabila dia berada di darjah lima dan diajar tentang pendidikan seks di sekolah.
DPP Tay berkata: "Hanya pada ketika itulah, mangsa menyedari yang tertuduh telah menderanya secara seksual dan apa yang dilakukan bapa angkatnya itu adalah salah.
"Walaupun menyedari tentang perkara itu, mangsa tidak mendedahkannya kepada sesiapa kerana takut tiada yang mempercayainya."
Bagaimanapun, dia mula cari alasan untuk keluar rumah sampai lewat malam dan mengelakkan diri daripada pulang ke rumah.
Pada 2018, apabila dia berusia 15 tahun, dia bertengkar dengan ibunya yang mengambil telefon bimbitnya dan melemparnya ke lantai kerana marah.
Telefon bimbit itu pecah lantas keesokan harinya, si pesalah memberikan wang agar si anak boleh membaiki telefonnya. Dia nampak anak angkatnya itu sedang minum air di dapur.
Selepas mengambil wang itu, remaja itu memusingkan badannya dan sambung minum air berkenaan. Namun, si pesalah tiba-tiba memeluknya dari belakang dan meletakkan tangannya di pinggang remaja itu.
DPP Tay berkata: "Yang tertuduh kemudian berbisik kepada mangsa dalam bahasa Mandarin: "Sekarang aku telah berikan kau wang, jadi aku boleh menyentuh engkau. Mangsa itu berkata, 'Tidak boleh'."
Walaupun ditolak, si pesalah terus menggerakkan tangannya ke kawasan dada si remaja dan merabanya.
Mangsa menyiku bapa angkatnya, tinggalkan dapur itu dan masuk ke biliknya.
DPP Tay berkata mangsa minum arak untuk luputkan perasaan negatif yang dirasakan daripada serangan seksual itu selama bertahun lamanya.
Pada 1 Oktober tahun lalu, ibu angkatnya dapat tahu yang remaja itu minum arak lantas menghalaunya dari rumah mereka.
Kerana tiada tempat untuk tidur malam itu, dia menghubungi temannya yang menasihatinya agar berbual kepada orang dewasa yang boleh dipercayai. Dia menghubungi kaunselor sekolah dan menceritakan tentang si pesalah yang menyerangnya secara seksual.
Kerana kesalahan mencabul mangsa di bawah 14 tahun, seorang pesalah boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan mencabul, pesalah boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Walaupun kesalahan yang dilakukan boleh membawa pada hukuman sebatan, lelaki ini tidak boleh dirotan kerana berusia lebih daripada 50 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg