Seorang lelaki dipercayai mati lemas di perairan East Coast Park, telah ditemui pada 11 Disember, manakala seorang lagi ditemui masih hidup 50m dari pantai pada hujung minggu.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes disyaki lemas pada 10 Disember kira-kira 7.10 malam, dan mayat seorang lelaki berusia 20 tahun telah dijumpai keesokan harinya.
Siasatan awal menunjukkan tiada salah laku yang disyaki. Siasatan sedang dijalankan.
Dalam gambar yang dikongsi kepada akhbar Lianhe Zaobao oleh seorang pembaca, terdapat sebuah khemah polis didirikan dan kawasan telah dikepung. Orang ramai dilihat berkumpul di luar kawasan yang dikepung.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kes yang sama pada 10 Disember kira-kira jam 7.10 malam.
SCDF berkata ia berkaitan insiden menyelamat di kawasan perairan bagi dua orang yang dilaporkan hilang dekat pantai East Coast Park, berhampiran East Coast Lagoon Food Village.
Anggota bomba SCDF, Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana (DART), dan kapal marin dikerahkan untuk mencari dua orang itu.
“Dengan bantuan Pengawal Pantai Polis, salah seorang yang hilang ditemui di laut kira-kira 50 meter dari pantai,” kata SCDF.
Individu yang diselamatkan telah diperiksa oleh pegawai SCDF tetapi enggan dibawa ke hospital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg