Polis telah menahan seorang lelaki berusia 56 tahun kerana dipercayai terlibat dalam satu kes gangguan peminjam wang haram.
Satu kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat menyatakan pihaknya menerima satu laporan gangguan oleh peminjam wang haram pada 8 Jun.
Dalam laporan itu, sebuah unit rumah di Woodlands Street 82 ditampal dengan nota penghutang pada jeriji utamanya.
Menerusi siasatan meluas dan dengan bantuan imej daripada kamera polis, para pegawai Divisyen Polis Woodlands mengesahkan identiti lelaki itu dan segera memberkasnya sekitar tujuh jam selepas laporan dibuat.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu bagi kesalahan di bawah Akta Peminjam Wang 2008 di mana pesalah kali pertama boleh didenda antara $5,000 dengan $50,000, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sehingga enam kali sebatan.
“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap kegiatan gangguan peminjam wang haram.
“Mereka yang dengan sengaja merosakkan hak, menyebabkan kegusaran dan gangguan kepada keselamatan dan keamanan awam akan ditangani secara serius mengikut undang-undang,” kata kenyataan itu.
Orang ramai dinasihati menjauhi peminjam wang haram dan tidak bekerjasama atau membantu peminjam wang haram dalam apa jua cara.
Orang ramai boleh hubungi polis di talian 999 atau talian X-Ah Long di 1800-924-5664 sekiranya mereka mengesyaki atau kenali sesiapa yang terlibat dalam kegiatan peminjam wang haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg