Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Indonesia didakwa beri bank wang kertas $10,000 palsu

Jan 23, 2025 | 5:59 PM
Chandra Ahmadyani dikatakan melakukan kesalahan itu pada tengah hari 23 Disember 2024, di cawangan DBS South Bridge di Hong Lim Complex.
Chandra Ahmadyani dikatakan melakukan kesalahan itu pada tengah hari 23 Disember 2024, di cawangan DBS South Bridge di Hong Lim Complex. - Foto SPF

Seorang lelaki yang didakwa menyerahkan wang kertas $10,000 palsu kepada seorang kakitangan bank telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada 23 Januari, warga Indonesia, Chandra Ahmadyani, 36 tahun, dikenakan satu pertuduhan menggunakan wang kertas palsu. 

Menurut kertas pertuduhan, Chandra dikatakan melakukan kesalahan tersebut pada tengah hari 23 Disember 2024, di cawangan DBS South Bridge di Hong Lim Complex.

Tertuduh dipercayai mempunyai sebab untuk mengetahui wang kertas itu adalah palsu.

Dalam satu kenyataan pada 22 Januari, polis berkata Chandra telah meminta supaya wang kertas tersebut dimasukkan ke dalam akaun banknya. 

Setelah menerima wang kertas itu, kakitangan di bahagian kaunter mengesyaki ia palsu dan segera memaklumkan pengurusnya, lapor The Straits Times.

Pihak bank memaklumkan polis dan Chandra kemudian ditangkap, dan wang kertas palsu itu dirampas untuk siasatan lanjut.

Chandra, yang ditawarkan ikat jamin $20,000, berkata di mahkamah bahawa dia bercadang mengaku bersalah. 

Kesnya akan disebut semula pada 6 Mac.

Polis berkata mereka mengambil serius sesiapa yang terlibat dengan wang kertas palsu.

Polis turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap individu yang menawarkan wang sebagai ganjaran untuk membantu menukarkan wang kertas $10,000 palsu atau wang dalam jumlah besar lain dengan wang yang sah, atau untuk memasukkan wang kertas tersebut di bank.

Mereka yang mengesyaki telah menerima wang kertas palsu perlu menghubungi polis dengan segera dan mencatatkan gambaran individu yang memberikan wang tersebut.

Mereka juga dinasihatkan supaya meletakkan wang kertas itu dalam lapisan pelindung seperti sampul surat atau kertas yang dilipat bagi menjaga bahan bukti itu dan menyerahkannya kepada polis.

Menurut polis, maklumat mengenai ciri keselamatan wang kertas Singapura yang sah boleh didapati di laman web Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg