Satu perang mulut tercetus antara seorang lelaki dan sekumpulan pelajar di Our Tampines Hub pada Isnin setelah lelaki tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan para pelajar yang mengalihkan begnya daripada tempat duduk.
Para pelajar itu kemudian duduk di kerusi yang telah ‘ditempah’ beliau itu.
Marah, lelaki tersebut memaki hamun dan menghubungi polis, menurut akhbar Cina Shin Min Daily News.
Dalam video yang dilihat akhbar tersebut, pelajar dilihat menjelaskan bahawa mereka hanya duduk di meja tersebut untuk belajar setelah lelaki itu meninggalkan ruang itu selama beberapa jam.
Sebagai respons, lelaki itu menuduh kumpulan pelajar itu sedang berpesta dan berkata mereka patut ke perpustakaan jika ingin belajar.
Kejadian itu dipercayai berlaku di tingkat bawah Our Tampines Hub yang menyediakan beberapa tempat duduk dan meja untuk kegunaan orang awam.
Seorang pelajar berusia 16 tahun, Lyon, memberitahu Shin Min Daily News bahawa lelaki tersebut selalu mengunjungi tempat itu, kadangkala seawal 6 pagi.
“Beliau selalu datang membawa beg pakaian dan beberapa beg, selalunya menonton video di komputer ribanya, dan kemudian hilang untuk beberapa jam, meninggalkan barang peribadinya,” katanya.
Pada hari kejadian, lelaki itu menjadi berang setelah mendapati barangnya telah dialihkan dan tempat duduk telah diambil pelajar.
Beberapa pelajar cuba menyangkal kenyataan lelaki tersebut, dan ada yang cuba menjelaskan keadaan malah menyuruh lelaki itu kurangkan nada suaranya.
“Beliau asyik berkata kami sedang berpesta tetapi semua orang sedang mengulangkaji tugasan sekolah,” ujarnya.
Apabila lelaki tersebut mendekati pengawal keselamatan Our Tampines Hub, pengawal itu memberitahunya bahawa beliau patut mengambil barang peribadi beliau sekiranya tidak berada di situ untuk tempoh lebih dua jam.
Lelaki tersebut marah dan kemudian menuduh para pelajar itu merosakkan barangnya.
Beliau kemudian menghubungi polis yang tiba di tempat itu sekitar 6.30 petang. Sesetengah pelajar juga meminta ibu bapa mereka untuk datang dan berbincang dengan lelaki tersebut, menurut pelajar itu.
Menurut Shin Min Daily News, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg