Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki pecah masuk, curi wang derma Masjid Al-Abdul Razak diberkas

May 17, 2023 | 5:30 AM
PECAH MASUK: Seorang jiran yang baru pulang dari kerja pada awal pagi Isnin ternampak seorang individu memanjat pagar masjid dan menghubungi polis dengan segera. - Foto MOHAMMED SHAHRIN SHAMSUDDIN
PECAH MASUK: Seorang jiran yang baru pulang dari kerja pada awal pagi Isnin ternampak seorang individu memanjat pagar masjid dan menghubungi polis dengan segera. - Foto MOHAMMED SHAHRIN SHAMSUDDIN -

POLIS telah memberkas seorang lelaki berusia 27 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan mencuri wang dari kotak derma di Masjid Al-Abdul Razak di Eunos pada Isnin.

Menurut polis, lelaki itu didakwa di mahkamah pada Selasa.

Mengesahkan kejadian tersebut, Pengerusi Masjid Al-Abdul Razak, Encik Mohammed Shahrin Shamsuddin, berkata ini merupakan kali pertama masjid itu mengalami kejadian sebegitu sejak beliau berada dalam lembaga pengurusan masjid pada 2005.

Menurut Encik Shahrin, seorang jiran yang baru pulang dari kerja pada awal pagi Isnin ternampak seorang individu memanjat pagar masjid dan menghubungi polis dengan segera.

"Dalam masa 10 minit, polis tiba dan menangkap pelakunya. Kami berterima kasih kepada jiran itu atas tindakannya yang pantas," kata beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai kes pecah masuk masjid di 30 Jalan Ismail itu sekitar 2.40 pagi pada Isnin.

Wang tunai dari kotak derma didakwa dicuri dari lokasi itu.

Menerusi siasatan dan bantuan imej kamera litar tertutup (CCTV), pegawai Divisyen Polis Bedok mengenal pasti identiti lelaki itu dan memberkasnya dalam tempoh tiga jam setelah laporan dibuat.

Sekiranya disabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Menyentuh langkah yang diambil masjid tersebut, Encik Shahrin berkata ia dan kebanyakan masjid lain selalunya mengamalkan langkah mengeluarkan duit dari kotak derma dan memindahkannya ke peti besi pada penghujung hari.

Justeru, sekiranya timbul sebarang kejadian yang melibatkan pencurian setelah penutupan masjid, jumlahnya adalah amat sedikit.

"Saya berharap dan berdoa agar masjid tidak akan menjadi sasaran bagi pencurian kerana duit yang kami terima adalah sumbangan orang ramai untuk membayar bayaran penyenggaraan masjid, gaji kakitangan, asatizah, kerja naik taraf, penyelenggaraan dan sebagainya," ujar Encik Shahrin.

Polis menasihati semua pemilik hartanah agar mengambil langkah mencegah jenayah seperti mengunci pintu, tingkap dan tempat masuk lain sebelum meninggalkan premis.

Orang ramai juga dinasihati agar mengelakkan daripada menyimpan jumlah wang tunai dan barang berharga yang besar di premis, selain memasang penggera keselamatan, lampu sensor pergerakan atau CCTV dan memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg