SEORANG lelaki positif Covid-19 dituduh gagal menggunakan pelitup muka meliputi hidung dan mulutnya didakwa mengganggu dua orang lain apabila dia batuk ke arah mereka.
Tamilselvam Ramaiya, 62 tahun, yang hadir di mahkamah daerah kelmarin, kini menghadapi dua pertuduhan gangguan dan satu pertuduhan di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara).
Warga Singapura itu didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat logistik di Senoko Way pada kira-kira 10.30 pagi pada 18 Oktober 2021.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bila dia didiagnos Covid-19 dan apa yang dilakukannya di tempat itu.
Tamilselvam didakwa batuk ke arah dua orang - seorang lelaki dan wanita - di pejabat itu dan menyebabkan mereka berasa cemas.
Tidak juga dinyatakan jika mereka kemudian dijangkiti Covid-19.
Persidangan pra-perbicaraannya akan berlangsung pada 17 Januari.
Tamilselvam bukanlah orang pertama yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sedemikian di tengah-tengah wabak koronavirus di Singapura.
Pada September 2020, Tan Shiaw Wee, yang tidak mengalami Covid-19, dipenjara lima minggu selepas dia menanggalkan pelitup muka dan batuk ke arah pengawal di pasar raya.
Warga Singapura itu, ketika itu berusia 47 tahun, mengaku bersalah pada 28 Julai tahun itu atas satu pertuduhan setiap satu gangguan dan kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara).
Dalam prosiding yang lebih awal, mahkamah mendengar bahawa sejurus sebelum dia melakukan kesalahan itu, Tan sedang mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM berhampiran pintu masuk pasar raya Sheng Siong di Bukit Batok pada 22 April 2020.
Dia kemudian melihat pengawal tersebut telah membuka sebahagian pelitupnya untuk mengelap muka.
Tan mengambil botol pembersih tangan yang disediakan untuk pelanggan di pasar raya itu dan menyembur pengawal wanita tersebut beberapa kali sebelum berjalan pergi.
Pengawal itu berkata beliau akan mengambil gambar lelaki itu dan melaporkan kepada polis.
Apabila Tan mendengar kata-katanya itu, dia lalu mendekatinya, menanggalkan pelitup dan batuk ke arahnya sebelum pergi sekali lagi.
Bagi setiap pertuduhan gangguan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $5,000.
Pesalah kali pertama yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
Bagi pesalah berulang pula, penjara sehingga setahun dan denda sehingga $20,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg