LELAKI yang didakwa mencuri iPad dari kedai kopi halal Rasa Rasa Sengkang mengembalikannya ke balai polis pada Jumaat (5 Mei).

Pengurus cawangan kedai kopi itu, Cik Nur Yuslinda Fatin Yusri, 28 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa beliau telah mengambil iPad yang hilang dari ibu pejabat Divisyen Polis Ang Mo Kio pada kira-kira 1.30 pagi Sabtu selepas syifnya tamat.

Cik Yuslinda telah memfailkan laporan polis pada 2 Mei selepas beliau mendapati iPad itu hilang sehari sebelumnya. Peranti itu digunakan untuk mengambil pesanan.

Rasa Rasa telah menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki sedang membelek iPad dari kaunter minuman di saluran media sosialnya pada Rabu untuk mencari saksi bagi membantu siasatan polis.

Dengan iPad itu dipulangkan, pekerja yang bertanggungjawab ke atasnya tidak perlu lagi membayarnya kerana isu itu telah diselesaikan, kata Cik Yuslinda pada Sabtu.

Bagaimanapun, polis memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa siasatan masih diteruskan.

Dalam catatan di Facebook, Rasa Rasa berkata lelaki itu telah memohon maaf atas perbuatannya itu.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang kerana membantu berkongsi dan menghubungi kami sepanjang tempoh ini. Terima kasih," jelas catatan Facebook itu.