Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki serang ibu bapa bila tidak diberi duit, dipenjara 6 bulan 

Jun 13, 2025 | 5:46 PM
Lelaki berusia 22 tahun melakukan kesalahan walaupun berada di bawah perintah mahkamah untuk tidak menggunakan keganasan terhadap ibu bapanya.
Lelaki berusia 22 tahun melakukan kesalahan walaupun berada di bawah perintah mahkamah untuk tidak menggunakan keganasan terhadap ibu bapanya. - Foto ST oleh KELVIN CHNG

Kurang dua tahun selepas dibebaskan daripada latihan reformasi kerana menyerang ibu bapanya pada 2021, seorang lelaki menumbuk mereka pula apabila enggan memberinya wang.

Lelaki berusia 22 tahun itu melakukan kesalahan itu walaupun berada di bawah perintah mahkamah untuk tidak menggunakan keganasan terhadap ibu bapanya. Perincian kesalahannya sebelum ini terhadap ibu bapanya tidak disebut di mahkamah.

Pada 13 Jun, lelaki tersebut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah kerana melakukan ugutan jenayah, menyebabkan kecederaan secara sukarela, dan melanggar perintah perlindungan peribadi.

Lelaki itu tidak boleh dinamakan, kerana ibu bapanya dilindungi di bawah Piagam Wanita, yang menghadkan sebarang maklumat yang membawa kepada pengenalan mereka daripada dikeluarkan, lapor The Straits Times (ST).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cik Tan Pei Wei berkata, lelaki yang tidak bekerja itu tinggal bersama ibunya, 60 tahun, dan bapanya, 59 tahun.

Pada petang 14 April, semasa di ruang tamu rumah mereka, dia meminta bapanya duit berjumlah $5,000. Apabila bapanya berkata dia tidak mempunyai wang untuk diberikan, lelaki itu menumbuknya di bahu dan belakang, menyebabkan kesakitan pada orang tua tersebut.

Apabila ibunya, yang terdengar kekecohan di ruang tamu, keluar dari bilik untuk mengetahui apa yang sedang berlaku, lelaki itu menarik bajunya dan menuntut $5,000 daripadanya. Dia lalu menumbuk telinga kanan ibunya apabila wanita itu memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang.

Lelaki itu kemudian memberitahu ibu bapanya, dalam bahasa Mandarin, jika mereka tidak memberinya wang, dia akan memukul mereka sehingga mati sebelum terjun dari bangunan.

Akibat ketakutan dengan ancaman anak mereka, pasangan itu meninggalkan rumah mereka dan menghubungi polis. Lelaki itu ditahan pada 21 April lalu.

DPP Tan menggesa mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara lima setengah bulan hingga tujuh bulan, sambil menekankan bahawa kes ini melibatkan keganasan rumah tangga, dengan jenayah dilakukan terhadap ibu bapa tertuduh sendiri.

Beliau menambah bahawa lelaki itu telah melanggar perintah perlindungan yang dimiliki oleh ibu bapanya terhadapnya dengan mengugut mereka, sekali gus meningkatkan tahap kesalahannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg