Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki terlibat kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, pengubahan wang haram ditangkap

Jan 20, 2024 | 10:20 PM
PINJAMAN WANG HARAM: Seorang lelaki akan didakwa Isnin atas kegiatan pinjaman wang haram.
PINJAMAN WANG HARAM: Seorang lelaki akan didakwa Isnin atas kegiatan pinjaman wang haram. - Foto fail

Polis telah merampas lebih $700,000 daripada seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan peminjaman wang tidak berlesen dan pengubahan wang haram.

Lelaki berusia 49 tahun itu, yang merupakan pemilik tunggal Xpress Leasing, juga telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah pada 22 Januari, kata polis pada 20 Januari.

Polis berkata mereka menerima sekurang-kurangnya 12 laporan antara September dengan Oktober 2020, yang mendakwa bahawa entiti perniagaannya memberi pinjaman secara terlarang, kononnya dengan alasan membeli dan menyewa telefon bimbit terpakai.

Ia juga dikatakan telah menghantar pemungut hutang untuk menangani mereka yang lewat membayar balik pinjaman.

The Straits Times pertama kali melaporkan mengenai skim itu pada Oktober 2020, apabila dua pembantu rumah berkongsi tentangnya.

Seorang wakil Xpress Leasing mengesahkan skim beli dan sewa pada masa itu, tetapi berkata syarikat itu telah “memutuskan untuk berhenti menawarkannya kepada warga asing sejak awal bulan itu (Oktober 2020), kerana ramai daripada mereka tidak memahami bagaimana ia berfungsi”.

Menjelaskan skim itu, beliau menambah bahawa jika syarikat itu membeli telefon bimbit daripada pembantu rumah dengan harga $1,000, hanya $760 akan dibayar kepadanya kerana $240 akan dianggap sebagai sewa bagi telefon itu, bagi bulan pertama. Sewa seterusnya ialah $50 sebulan.

Pembantu rumah itu juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan semula telefonnya dengan membelinya pada harga $1,000, yang boleh dibayar secara ansuran selama empat bulan.

Siasatan polis mendapati antara Jun dengan Oktober 2020, lelaki berusia 49 tahun itu didakwa menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, dengan memberi pinjaman secara terlarang di premis syarikatnya.

Semasa penyiasatan, lima akaun bank yang dikaitkan dengan kegiatan jenayahnya telah dibekukan dan lebih $700,000 telah dirampas.

Lelaki itu, yang sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan pinjaman wang tanpa lesen, akan didakwa di mahkamah dengan satu tuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.

Dia juga boleh dikenakan hukuman yang dipertingkat di bawah kesalahan yang sama dan tiga tuduhan memperoleh harta hasil manfaat yang diraih daripada kelakuan jenayah.

Mereka yang didapati bersalah menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, boleh dipenjara hingga empat tahun, didenda antara $30,000 dengan $300,000, serta disebat hingga enam kali bagi sabitan pertama.

Bagi sabitan kedua, mereka boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda antara $30,000 dengan $300,000, serta disebat hingga 12 kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg