SEORANG warga Australia yang mencuri barangan bernilai $10,000 dari Lapangan Terbang Changi, dipenjara selama 12 hari.
Bailey Chad Phillip, 45 tahun, berada di Singapura selepas terbang dari Jerman sebelum meneruskan penerbangannya ke Melbourne.
Dia mencuri dari tujuh kedai dalam tempoh tiga jam.
Pada 5.40 pagi, dia mencuri sebotol minuman keras bernilai $4,500 dari kedai bebas cukai di Terminal 1.
Dia kemudian mencuri beg jenama Fendi bernilai $3,400 di dewan transit di Terminal 1, menurut laporan TNP.
Di Terminal 2, dia mencuri lagi empat botol minuman keras, tiga paket rokok dan tiga tin minuman keras.
Dia kemudian mencuri dua botol minyak wangi, dua alat pendengar dan sebuah pembesar suara Bluetooth.
Selepas dia mencuri beg Fendi, seorang pekerja mendapati beg itu hilang dari rak-rak dan memeriksa CCTV,
Polis mendapati Bailey di dewan keberangkatan di Terminal 1 dan memeriksanya.
Barang yang dicuri dipulangkan ke kedai.
Bailey, yang tidak diwakili peguam, menyatakan dia mengambil ubat pencegah keresahan sebelum mengambil pesawat kerana takut untuk menaiki pesawat. Dia juga meminum alkohol dengan ubat itu kerana tidak boleh berfikir secara waras.
Hukumannya dikira dari tempoh dia ditahan pada 16 Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg