Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang dijatuhi hukuman mati pada 2020 kerana mengedar heroin, terlepas daripada hukuman gantung, selepas Mahkamah Rayuan pada 16 Julai membebaskannya daripada dua tuduhan dadah yang membawa hukuman mati.
Sebaliknya, Mohamed Mubin Abdul Rahman, mengaku bersalah terhadap dua tuduhan pindaan kerana memiliki dadah jenis ‘methamphetamine’.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh dia telah ditahan, dan mengarahkan dia dibebaskan dari penjara.
Mubin yang ditangkap pada 5 Oktober 2015, telah menghabiskan lebih lapan tahun sembilan bulan dalam tahanan.
Dia dibebaskan selepas mahkamah pada 8 Mei mengetepikan sabitan terhadapnya kerana pihak pendakwaan telah menjalankan kes tidak konsisten semasa perbicaraan, khususnya, mengenai masa heroin itu diserahkan kepadanya.
Dalam penghakimannya pada masa itu, mahkamah menyatakan bukti yang ada tidak menunjukkan kesalahan yang melampaui keraguan munasabah, berhubung bila masanya dua bungkusan heroin diserahkan kepada Mubin.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes tersebut agar hujahan bertulis difailkan mengenai sama ada tertuduh perlu dibebaskan, atau dibicarakan semula, dengan mengambil kira prinsip undang-undang yang berkaitan.
Mahkamah juga meminta hujahan sama ada pertuduhan yang diubah harus dikenakan terhadap Mubin, memandangkan dia mengaku telah beberapa kali mendapatkan ‘methamphetamine’ daripada pembekalnya.
Dalam hujahannya, pihak pendakwaan berkata Mubin harus dibebaskan, dan mencadangkan dua tuduhan memiliki ‘methamphetamine’ berdasarkan bukti yang timbul semasa perbicaraan, termasuk pengakuan tertuduh.
Mubin dan adiknya, Lokman Abdul Rahman, 59 tahun, dibicarakan secara bersama atas kesalahan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi antara Januari 2019 dengan Februari 2020.
Pada akhir perbicaraan, Mubin dijatuhi hukuman mati, manakala Lokman dikenakan penjara seumur hidup, selepas hakim menerima bahawa Lokman hanyalah seorang penghantar.
Lokman ditahan oleh pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) di tingkat bawah sebuah kondominium di Katong pada 8 September 2015.
Apabila Mubin akhirnya ditangkap pada 5 Oktober 2015, dia antara lain membawa dua paket ‘methamphetamine’, tiga paket heroin, dan alat penimbang bersamanya.
Pendakwa raya berkata, Mubin telah mengarahkan Lokman untuk mengambil dua bungkusan heroin dari unit kondominium itu, dan menyerahkan satu bungkusan kepada seseorang bernama Edy dan satu lagi kepada Mubin.
Pihak pendakwaan berhujah Mubin telah menerima heroin daripada pembekalnya dari Malaysia.
Semasa kes rayuan Mubin, peguamnya berhujah bahawa anak guamnya menghadapi prejudis kerana pihak pendakwaan telah menukar kes berhubung bila masanya bungkusan dadah itu diserahkan kepadanya.
Dalam kes rayuannya, Mubin mendapat khidmat guaman percuma atau pro bono daripada tiga peguam – Encik Eugene Thuraisingam, Encik Johannes Hadi, dan Encik Mohamed Fazal Abdul Hamid di bawah Skim Bantuan Guaman bagi Kesalahan Hukuman Mati (Lasco) Mahkamah Agung.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan menyatakan pihak pendakwaan telah menukar kedudukannya berhubung aspek penting kes tersebut.
Mahkamah berkata, pihak pendakwaan pada mulanya bersetuju heroin itu diserahkan kepada Mubin pada 5 September.
Pihak pendakwaan kemudian menyatakan heroin itu telah diserahkan kepadanya pada minggu pertama September.
Kemudian, dalam hujahan penutupnya, ia berkata tarikh penghantaran heroin itu adalah tidak relevan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg