
SEORANG lelaki yang didakwa membunuh isterinya akan dibawa ke tempat kejadian jenayah itu minggu depan, jelas polis pendakwa kepada mahkamah pada Rabu (16 Februari).
Menyusuli tamatnya penilaian psikiatrik ke atasnya di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi, David Brian Chow Kwok-Hun, akan ditahan di Divisyen Polis Central.
Chow, 33 tahun, didakwa membunuh isterinya, Cik Isabel Elizabeth Francis, 30 tahun, di unit kediaman di Ang Mo Kio Street 23 pada 11 Januari.
Seorang teman Cik Francis memberitahu akhbar The Straits Times bahawa Cik Francis hamil pada waktu kejadian.
Sewaktu di lokasi kejadian, Chow akan juga membantu polis menemukan semula barangan tertentu sebagai bukti, tambah polis pendakwa itu pada Rabu.
Chow yang muncul di mahkamah menerusi pautan video pada Rabu diwakili peguam baru - Encik Shashi Nathan, Encik Jeremy Pereira dan Cik Laura Yeo - menyusuli pelepasan peguamnya sebelum ini.
Encik Nathan memberitahu mahkamah Chow dibenarkan bertemu ibu bapa dan seorang anggota keluarganya pada Rabu. Beliau juga akan memberitahu anak guamnya itu agar mengambil arahan dalam masa dua minggu.
Dalam satu kenyataan awal, polis berkata mereka diberitahu tentang kejadian seseorang ditikam di flat sekitar 7.35 pagi pada 11 Januari.
Apabila pegawai tiba di tempat kejadian, mereka terjumpa Cik Francis terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri. Beliau disahkan mati di tempat kejadian.
Chow dibawa ke hospital dengan kecederaan. Dia dituduh membunuh oleh hakim lapangan di Hospital Tan Tock Seng keesokan harinya.
Satu pemeriksaan rekod Pendaftar Perkahwinan menunjukkan Chow dan Cik Francis berkahwin pada 2019.
The Straits Times sebelum ini bertemu seorang siswa sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang menyatakan beliau bertemu Cik Francis pada Januari tahun lalu apabila mereka bersama-sama memulakan kursus undang-undang peringkat siswazah doktor juris.
Wanita yang enggan namanya disiarkan menambah beliau diberitahu tentang kehamilan Cik Francis oleh rakannya itu. Menurut Cik Francis, beliau dijadualkan melahirkan sekitar pertengahan tahun ini.
Menurutnya lagi, Cik Francis telah mendapat pekerjaan dalam bidang pemasaran tahun lalu.
Mengikut profil LinkedIn, Cik Francis memulakan pekerjaan sepenuh masa di Deliveroo sebagai penolong pengurus dalam kempen jenama dan kerjasama sekitar Oktober lalu.
Sesiapa yang didapati bersalah membunuh boleh berdepan dengan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan dirotan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg