Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki yang ditembak polis di Clementi kini hadapi tuduhan tumbuk pegawai Aetos, langgar PPO
Lelaki yang ditembak polis di Clementi kini hadapi tuduhan tumbuk pegawai Aetos, langgar PPO
Lelaki yang ditembak polis di Clementi kini hadapi tuduhan tumbuk pegawai Aetos, langgar PPO
SEORANG lelaki yang ditembak pegawai polis pada lengan kirinya di Clementi selepas dia mengacukan pisau awal tahun ini telah didakwa dengan tiga kesalahan baru.
Pada Khamis (26 Mei), Soo Cheow Wee, muncul di pautan video di mahkamah daerah apabila dia berdepan dengan tuduhan baru menumbuk pegawai Aetos pada Jun 2019 serta melakukan perbuatan terburu-buru dengan melanggar perintah perlindungan peribadi (PPO) tahun lalu.
Soo yang kini telah memotong botak rambutnya memberitahu mahkamah bahawa dia berhasrat mengaku bersalah dan sedang memohon bagi bantuan guaman.
Soo, 49 tahun, dituduh menumbuk pegawai Aetos di bahagian kiri kepala pada 9 Jun 2019 sekitar 6.40 petang.
Butiran kejadian itu yang berlaku di Pusat Polis Kejiranan Kampong Java tidak tertera dalam dokumen mahkamah.
Pada 16 September tahun lalu, Soo juga dikatakan telah melanggar PPO yang diambil seorang wanita ke atasnya kerana keganasan keluarga.
Dia juga dikatakan telah melempar tin aerosol ke arah wanita itu di sebuah unit di Clementi.
Tuduhan ketiganya adalah melakukan perbuatan terburu-buru berhubung dengan kejadian yang sama.
Akhbar The Straits Times tidak menamakan wanita berkenaan untuk melindungi identitinya.
Soo ditembak ketika menyerang pegawai polis di luar Divisyen Polis Clementi di Clementi Avenue 5 pada 17 Februari tahun ini.
Dia juga didakwa menerjah ke arah salah seorang pegawai itu sambil mengayun-ayunkan pisaunya.
Beberapa minit sebelum kejadian ini, dia dikatakan telah menikam lelaki berusia 41 tahun itu dengan pisau berhampiran Blok 420A, Clementi Avenue 1.
Jika didapati bersalah menikam lelaki lain dengan pisau, Soo boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan didenda atau dirotan.
Kerana sengaja menyebabkan kesakitan pada seorang pegawai awam yang sedang bertugas, Soo boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda, dirotan atau gabungan hukuman berkenaan.
Bagi kesalahan melanggar PPO, pesalah berdepan dengan denda $2,000, penjara hingga enam bulan atau kededuanya sekali.
Pesalah berulang boleh berdepan dengan denda hingga $5,000, tempoh penjara hingga 12 bulan atau kededuanya sekali.
