Lelaki yang dituduh kelar kucing di AMK didakwa di mahkamah
Lelaki yang dituduh kelar kucing di AMK didakwa di mahkamah
SEORANG lelaki yang dituduh terlibat dalam siri kelar kucing di Ang Mo Kio didakwa di mahkamah semalam.
Leow Wei Liang, 37 tahun didakwa dengan kesalahan kekejaman ke atas haiwan.
Dia dituduh mengelar seekor kucing putih bertompok kelabu dengan pisau lipat pada 2 Mei di tangga tempat meletak kereta di Blok 352A Ang Mo Kio Street 32, pada sekitar 11 pagi.
Di mahkamah, Leow enggan menunjukkan mukanya pada kamera.
Namun semasa penstriman video, Leow boleh didengar meraung sebaik sahaja pegawai polis cuba menyuruhnya untuk berdiri.
Meskipun demikian, Hakim Daerah Marvin Bay memaklumi kehadirannya di mahkamah.
Leow didengar berkata dalam bahasa Mandarin bahawa dia tidak mahu masuk penjara dan merayu agar dilepaskan.
Pihak pendakwa percaya bahawa Leow bertanggungjawab ke atas insiden berapa kucing dikelar di Ang Mo Kio dan minta dia direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) selama dua minggu.
Hakim Daerah bersetuju dengan permohonan itu,dengan merujuk kepada kelakuan Leow di mahkamah yang menyokong keputusan tersebut.
Leow ditangkap pada pagi Selasa oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks) dengan sokongan polis.
Sejak April lalu, sebanyak 10 kucing ditemui dengan keadaan badan mereka dikelar.
Serangan itu berlaku di Ang Mo Kio Avenue 8 dan Ang Mo Kio Avenue 1.
Ekoran kejadian itu, beberapa kucing kejiranan telah ditempatkan di kemudahan penginapan haiwan di Lim Chu Kang dan di The Animal Lodge.
Dalam satu kenyataan NParks kelmarin, Pengarah Kumpulan Pengurusan Haiwan Masyarakat, Cik Jessica Kwok, berkata bahawa menjaga kebajikan haiwan adalah tanggungjawab sosial bersama.
Beliau menggesa orang awam agar memainkan peranan mereka dengan segera melaporkan kes kekejaman terhadap haiwan yang disyaki kepada AVS.
Beliau menambah AVS boleh dihubungi menerusi laman www.avs.gov.sg/feedback atau talian 1800-476-1600.
Kes Leow akan didengar lagi di mahkamah pada 23 Jun.
Sekiranya disabit dengan kesalahan kekejaman haiwan, Leow boleh dipenjara hingga 18 bulan, atau denda hingga $15,000, atau kedua-duanya.
Pesalah berulang boleh dipenjara hingga tiga tahun, atau denda hingga $30,000, atau kedua-duanya.

