Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lemah deria tidak hambat murid madrasah lulus PSLE

Nov 23, 2023 | 5:30 AM
KEPUTUSAN BAIK: Aeisyah Nusaybah Mohamad Rahsid memperoleh markah lebih  90 untuk kesemua tujuh mata pelajarannya bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah dan Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam walaupun dia mengalami kelemahan deria.
KEPUTUSAN BAIK: Aeisyah Nusaybah Mohamad Rahsid memperoleh markah lebih 90 untuk kesemua tujuh mata pelajarannya bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah dan Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam walaupun dia mengalami kelemahan deria. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Walaupun mengalami kelemahan deria kesan sampingan sesi kemoterapinya, Aeisyah Nusaybah Mohamad Rahsid meraih pelbagai pencapaian dalam perjalanan akademiknya.

Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah berusia 12 tahun itu, yang menghidap penyakit neuroblastoma berisiko tinggi tahap tiga sejak usia tiga tahun, antara 335 murid madrasah darjah enam yang lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.

Neuroblastoma ialah barah yang bermula dalam sesetengah bentuk sel saraf.

Walaupun Aeisyah selesai menjalani rawatannya pada 2017, dia masih menjalani pemeriksaan perubatan tahunan seperti imbasan engimejan resonans magnetik (MRI ) dan tomografi berkomputer (CT).

Kesan rawatan itu menyebabkan deria Aeisyah menjadi lemah dan melambatkan perkembangan fizikalnya, mengakibatkan dia lebih kecil berbanding rakan sebayanya. Derianya yang lemah menyebabkan Aeisyah sukar memberi perhatian pada pengajaran gurunya di dalam kelas.

Di sebalik cabaran itu, Aeisyah memperoleh markah lebih 90 untuk kesemua tujuh mata pelajarannya bagi PSLE dan Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE).

Menjawab pertanyaan Berita Harian, Aeisyah berkata keluarganya menjadi motivasinya untuk melakukan yang terbaik dalam pelajarannya.

Aeisyah ditemani bapanya, Encik Mohamad Rahsid Mustaffa, 53 tahun; ibunya, Cik Faezah Zaiton, 45 tahun; dan adiknya, Faathimah Rufaydah Mohamad Rahsid, sembilan tahun, ketika menerima keputusan PSLE pada Rabu pagi.

SOKONGAN KELUARGA: Aeisyah Nusaybah Mohamad Rahsid (dua dari kanan) ditemani ibunya, Cik Faezah Zaiton; adiknya, Faathimah Rufaydah Mohamad Rahsid (tudung hitam), dan bapanya, Encik Mohamad Rahsid Mustaffa, ketika menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendahnya di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pada Rabu.
SOKONGAN KELUARGA: Aeisyah Nusaybah Mohamad Rahsid (dua dari kanan) ditemani ibunya, Cik Faezah Zaiton; adiknya, Faathimah Rufaydah Mohamad Rahsid (tudung hitam), dan bapanya, Encik Mohamad Rahsid Mustaffa, ketika menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendahnya di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pada Rabu. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

“Saya mahu melakukan yang terbaik untuk PSLE saya kerana saya mahu membanggakan ibu bapa saya. Saya juga ingin menjadi model peranan kepada adik saya.

“Pada masa depan, saya bercita-cita menjadi seorang ustazah kerana saya ingin menyumbang kembali kepada masyarakat kita dan mendidik murid bagaimana guru saya mendidik saya,” ujar Aeisyah sambil tersenyum kepada keluarganya.

Ketabahan Aeisyah mengharungi dugaan membuahkan hasil kerana beliau menerima Anugerah Madrasah Muis untuk Kemajuan Baik pada 2022, serta Anugerah Biasiswa Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF) pada 2019 dan 2022.

Keputusan PSLE 2023 diumum pada Rabu dengan 98.4 peratus daripada 38,088 murid berjaya melangkah ke sekolah menengah pada 2024.

Selain menerima keputusan PSLE, mereka juga menerima Borang Pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg