Topic followed successfully
Go to BHkuLetusan Gunung Dukono: Baki 15 pendaki, 2 porter jaya diselamatkan
Letusan Gunung Dukono: Baki 15 pendaki, 2 porter jaya diselamatkan
3 pendaki terkorban, termasuk 2 warga S’pura
Letusan Gunung Dukono: Baki 15 pendaki, 2 porter jaya diselamatkan
Dua pendaki warga Singapura dan seorang warga Indonesia dilaporkan maut setelah Gunung Dukono, di Kota Halmahera Utara, dalam wilayah Maluku Utara, Indonesia, meletus ketika mereka melakukan pendakian pada 8 Mei.
Ketua Polis Halmahera Utara, Encik Erlichson Pasaribu, mengesahkan perkara itu kepada Berita Harian (BH) semasa dihubungi pada 8 Mei.
Salah seorang pendaki warga Singapura yang maut itu dipercayai seorang lelaki, yang dikenal pasti sebagai Timothy, manakala jantina pendaki warga Singapura kedua yang terkorban masih belum dikenal pasti, ujarnya.
Beliau menambah bahawa seramai sembilan pendaki warga Singapura, termasuk mangsa yang terkorban, mendaki gunung berapi yang aktif itu dan mereka dipercayai telah berkhemah semalaman berhampiran kawah.
“Tujuh pendaki (warga Singapura) lain selamat walaupun mereka mengalami kecederaan ringan dan telah dikejarkan ke kemudahan penjagaan kesihatan tempatan,” katanya.
Penyelamat tempatan belum dapat memindahkan ketiga-tiga mayat pendaki yang meninggal dunia itu dari puncak gunung, kerana gunung berapi itu masih terus meletus, tambah beliau.
Pendaki tempatan yang meninggal dunia itu pula, kata Encik Pasaribu, adalah sebahagian daripada pemandu pelancong dari kota Ternate yang bersama-sama mendaki Gunung Dukono, yang setinggi 1,087 meter dari paras laut.
Beliau berkata baki 15 pendaki – termasuk tujuh warga Singapura dan lapan warga Indonesia – serta dua porter (pengangkut barangan) telah dijumpai dan dibawa ke kemudahan penjagaan kesihatan tempatan untuk dirawat.
Menjawab pertanyaan BH, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata pihaknya dan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengumpulkan maklumat relevan, memberikan bantuan konsular dan menyokong warga Singapura serta keluarga mereka yang terjejas.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) bagi peringkat daerah, Encik Iwan Ramdani, memberitahu agensi berita terdapat 20 pendaki – sembilan warga Singapura dan selebihnya rakyat Indonesia – yang melakukan pendakian pada 8 Mei apabila gunung berapi itu meletus.
Menurutnya beliau, pihaknya telah mengerahkan puluhan anggota, termasuk pegawai polis, untuk mencari 20 pendaki yang terperangkap akibat letusan itu.
Menukil kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia pada 8 Mei, pihak berkuasa tempatan sudah menggiatkan usaha mencari dan menyelamat.
“Pasukan gabungan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) dan Basarnas giat menyisir dan memindahkan pendaki di kawasan pergunungan itu ketika kegiatan gunung berapi masih meningkat,” kata kenyataan itu.
BNPB berkata ia mengekalkan status amaran gunung itu pada peringkat ‘Waspada’, iaitu tahap kedua tertinggi, sejak 29 Mac berikutan kegiatan letusan gunung berapi yang masih aktif.
Berikutan amaran yang dikeluarkan, BNPB berkata Kementerian Pelancongan Indonesia telah mengeluarkan surat bagi penutupan kawasan pendakian Gunung Dukono, disebabkan risiko kepada keselamatan pelancong dan masyarakat di sekitar kawasan pergunungan itu.
BNPB berkata: “Berdasarkan perbincangan awal antara agensi, dipercayai adanya kecuaian daripada pihak kegiatan pelancongan atau pihak lain yang terus mendaki, walaupun notis penutupan untuk kawasan mendaki Gunung Dukono telah dikeluarkan.
“Pemerintah sedang menyiasat situasi ini untuk menentukan kronologi penuh peristiwa tersebut.”
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), iaitu agensi kaji gunung berapi Indonesia, dalam satu kenyataan berasingan pada 8 Mei berkata letusan itu berlaku pada 7.41 pagi (waktu tempatan) dan memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
PVMBG juga mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya tidak melakukan sebarang kegiatan dalam lingkungan empat kilometer dari kawasan kawah gunung berapi itu.
Ia turut memberi amaran tentang risiko aliran lumpur gunung berapi apabila hujan. – Laporan tambahan ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA
