AKHBAR Lianhe Zaobao meraikan ulang tahunnya yang ke-100 dengan menganjurkan beberapa acara dan kegiatan menarik untuk para pembacanya.

Antara kegiatan ini termasuk konsert, karnival serta pameran gambar dan komik. Acara ini bertujuan untuk menghubungkan pembaca baru dan lama.

Buat julung kalinya, akhbar utama SPH Media berbahasa Cina itu akan menganjurkan kejohanan eSports masyarakat dan acara berbasikal berskala besar.

Pada Ahad (11 Dis), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, bersama Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan), Encik Tan Kiat How, memulakan sambutan itu dengan bacaan bersama secara besar-besaran di Heartbeat@Bedok.

Kedua-dua pemimpin turut menyertai perbincangan mengenai topik berita semasa dengan Cik Lee Huay Leng, ketua pengarang Kumpulan Media Cina SPH Media.

Lianhe Zaobao turut melancarkan projek sejarah lisan, dengan kerjasama Arkib Negara Singapura, untuk mendokumentasikan sejarah akhbar Cina tempatan itu.

Lebih daripada 30 kakitangan editorial bekas dan sekarang akan ditemu bual, dan sumbangan mereka akan disusun dan diterbitkan tahun depan dalam talian dan dalam sebuah buku.

Editor Lianhe Zaobao, Encik Goh Sin Teck berkata:

"Sepanjang sejarah 100 tahun ZB, rakan sekerja kami terus kekal dengan misi kami, iaitu menyediakan kewartawanan berkualiti kepada pembaca kami.

"Kami akan terus berpegang kepada prinsip kewartawanan yang telah membimbing kami selama ini.

"Kami tidak dapat mencapai pencapaian penting ini tanpa sokongan pembaca, pelanggan, pengiklan dan rakan kongsi kami, dan kami mengharapkan sokongan berterusan mereka pada tahun-tahun akan datang."