BAGI dua banduan belia ini, yang hanya ingin dikenali sebagai Isaac dan George, niat mereka menyertai satu program belia meskipun di balik jeriji penjara menandakan tekad mereka untuk mengubah kehidupan menjadi individu berguna dalam masyarakat.
Isaac, 19 tahun, yang menjalani hukuman bagi kesalahan pecah masuk rumah, dan George, 27 tahun, yang terlibat dalam kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah, merupakan antara 82 penerima Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) yang diiktiraf semalam.
Bahkan mereka juga antara 33 banduan yang berjaya meraih anugerah NYAA Emas dalam majlis penyampaian anugerah itu.
Mereka telah melakukan pelbagai kegiatan di bawah anugerah itu - daripada menghasilkan kraf tangan dan melibatkan diri dalam pelbagai cabaran fizikal untuk memberi manfaat kepada pelbagai benefisiari.
Untuk mencapai anugerah emas, peserta perlu melibatkan diri dalam beberapa kegiatan seperti berkhidmat kepada masyarakat, kegiatan luar dan mesra alam, mengamalkan gaya hidup sihat serta melibatkan diri dalam projek kemasyarakatan sekurang-kurangnya bagi tempoh 18 bulan secara keseluruhan.
Menurut kedua-dua belia itu, apa yang telah mendorong mereka berubah adalah orang tua mereka, dan keinginan untuk mengetepikan masa lalu mereka serta menjadi individu yang berguna dalam masyarakat.
"Saya berusaha untuk memberi khidmat saya kepada masyarakat bukan untuk menunjuk-nunjuk, atau seolah ingin menerima penghargaan daripada orang lain, tetapi biarpun sumbangan saya kecil, ia membawa rasa bangga kepada saya apabila ia memberi manfaat kepada orang lain," kata Isaac.
Beliau telah melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan anjuran badan sukarela, Be Kind SG.
Anak kedua dalam keluarga lima anak itu telah menghasilkan kraf tangan untuk penduduk warga emas di Moral Welfare Home dan untuk usaha pengumpulan dana oleh sebuah sekolah bagi acara Hari Natal, yang mana dana itu akan dihulurkan kepada sebuah agensi sosial yang menawarkan pendidikan khas kepada penerima kurang upaya.
"Ibu saya sering datang ke mari untuk menjenguk saya, dan itu memberi motivasi kepada saya untuk berubah dan kini sudah tibanya saya tidak membuat beliau rasa kecewa lagi," katanya, yang juga merujuk kepada keluarganya dan pegawai pemulihan sebagai tunggak sokongan pemulihannya.
"Menerusi program ini, saya juga pelajari apa yang bermanfaat, saya terus lakukan. Tapi apa yang membawa keburukan, termasuk teman yang mempengaruhi saya lakukan benda-benda buruk, saya elakkan," katanya lagi.
George, seorang lulusan cemerlang Diploma bidang Pengurusan Rangkaian Bekalan Sekolah Penjara dengan meraih GPA 3.88 mata, pula telah banyak berkorban masa rehatnya pada hujung minggu untuk melakukan kerja kemasyarakatan.
Ini kerana beliau perlu menghadiri kelas lima hari seminggu, dari pagi hingga petang dan kadangkala perlu melanjutkan kelas pembelajaran hingga malam.
Antara lain, beliau melibatkan diri dalam cabaran Maraton Vertikal, yang mana selepas selesai menaiki tangga sehingga 40 tingkat, sepasang kasut lari baru akan didermakan kepada benefisiari Be Kind SG. Beliau juga menghasilkan permainan susun suai gambar bagi kanak-kanak Rainbow Centre.
"Kalau kita nak berubah, kita mesti ada niat dan membuat langkah pertama untuk mengorbankan masa dan tenaga kita," kata George.
"Dan apa yang menarik adalah aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada diri saya tetapi kepada penerima masyarakat juga," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg