Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Lihat! Lihat!' miliki ilustrasi sarat dengan makna yang tersirat

Dec 11, 2022 | 5:30 AM
KISAH MENARIK: Buku ini mengisahkan tentang dunia imaginatif seorang kanak-kanak perempuan bernama Uma yang harus menjaga adik kecilnya sewaktu ibu mereka pergi membeli makanan. - Foto NLB
KISAH MENARIK: Buku ini mengisahkan tentang dunia imaginatif seorang kanak-kanak perempuan bernama Uma yang harus menjaga adik kecilnya sewaktu ibu mereka pergi membeli makanan. - Foto NLB -

BUKU bergambar merupakan wadah yang amat sesuai untuk memperkenalkan dunia serta segala isinya kepada kanak-kanak.

Sebelum membaca dan memahami sesebuah teks atau bahan bertulis, kanak-kanak akan memperolehi kemahiran literasi awal dengan pembacaan gambar.

Satu ciri khas buku bergambar adalah gabungan gambar dan teks yang tidak berdiri dengan sendiri malah saling bergantung bagi menyampaikan sebuah cerita yang lengkap. Adakalanya, teks tidak akan menjelaskan isi yang terkandung dalam gambar.

Maka tahap literasi visual si pembaca digunakan untuk membicarakan apa yang dilihatnya.

Buku bergambar Lihat! Lihat! yang ditulis oleh Aniek Wijaya dan diilustrasi oleh Evelyn Ghozalli dapat kita golongkan dalam genre buku bergambar tersebut.

Diterbitkan pada tahun 2019 oleh Yayasan Litara, edisi Bahasa Melayu ini telah diterjemahkan oleh Nur-El-Hudaa Jaffar dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional.

Buku ini mengisahkan tentang dunia imaginatif seorang kanak-kanak perempuan bernama Uma yang harus menjaga adik kecilnya sewaktu ibu mereka pergi membeli makanan.

Untuk menghiburkan adiknya yang tidak berhenti menangis, Uma membawa mereka berdua terbang di angkasa menggunakan kain gendong yang berubah bentuk menjadi seperti belon udara panas.

Di angkasa, mereka dapat melihat pelbagai makanan seperti kuih apam dan kuih pau yang terapung di udara, suatu gambaran yang menunjukkan betapa mereka sedang kelaparan.

Kembali ke dunia nyata, mereka akhirnya mengatasi rasa lapar dengan menikmati kuih yang dibeli oleh ibu.

Buku ini amat sesuai untuk dibaca bersama secara lantang. Ilustrasi yang sarat dengan makna yang tersirat boleh membantu dalam pembangunan literasi visual.

Sebagai contoh, penggunaan warna yang berbeza di antara dunia nyata dengan imaginatif, di mana dunia nyata diselubungi warna kelabu yang suram, manakala dunia imaginatif kelihatan berseri berwarna-warni.

Kaedah pembacaan bersifat dialogik akan mencetuskan perbualan atau dialog antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Berdasarkan ilustrasi yang menggambarkan pergolakan hidup golongan kelas bawahan di sebuah bandar yang sibuk, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka untuk berkongsi pendapat tentang apa yang dilihat.

Ringkasnya, buku ini menawarkan santapan visual, pengalaman membaca serta kerohanian yang baik lagi menarik untuk kanak-kanak.

► Penulis pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg