DISLEKSIA tidak menghalang Nur Deanna Mohammad Ismael, 14 tahun, mendalami bidang tarian yang diminatinya.

Mentelah ibu bapa Deanna, Cik Zalina Zakariah, 40 tahun, dan Encik Mohammad Ismael Abdull Rahman, 46 tahun, menyokong sepenuhnya usaha anak kedua mereka itu.

Dua adik-beradik Deanna, yang berusia 12 dan 16 tahun, tidak menghadapi disleksia.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Cik Zalina berkata beliau dan suaminya mahu meningkatkan keyakinan diri Deanna menerusi tarian.

"Deanna kelihatan berminat dengan kelas tarian yang dijalankan ketika kami bersiar-siar dan meniru tarian yang diajarkan," ujarnya.

Ternyata, bakat Deanna dalam tarian balet, tap dance dan jaz bersinar.

Dia mendapat markah baik bagi kelas tarian dan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Kisah penuh inspirasi Deanna antara cerita yang dimuatkan dalam buku perjalanan Persatuan Disleksia Singapura (DAS) bertajuk Clearly Different: Dyscovering the Differences tulisan Dr William Wan.

Buku terbitan World Scientific itu dilancarkan pada 29 Julai lalu sempena ulang tahun ke-25 DAS.

Menurut DAS, buku itu bertujuan merakam laluan persatuan itu, yang bermula dengan 12 pelajar sahaja tetapi sekarang telah membimbing ribuan kanak-kanak.

DAS berharap buku tersebut dapat mendekati lebih ramai warga Singapura dan dunia demi mencipta suasana inklusif.

Hasil penjualan buku itu akan disalurkan kepada dana Dermasiswa DAS, yang menyokong keperluan pelajar disleksia yang memerlukan.

Seorang ahli terapi pendidikan kanan DAS, Cik Tuty Elfira Abdul Razak, berkata mereka yang menghadapi disleksia mempunyai kesukaran dalam aspek menggabungkan perkataan bagi menulis, membaca dan bertutur.

"Kami menggalak mereka yang menghadapi disleksia mendalami perkara yang diminati mereka. Ini dapat menaikkan semangat mereka. Mereka juga boleh berjaya dalam bidang yang diminati," kata Cik Tuty.

Antara pencapaian Deanna ialah mendapat tempat pertama bagi kategori individu dalam pertandingan tarian Dance Quest 2014 di Perth, Australia, dan tempat pertama berkumpulan bagi kategori tarian 'Tap Troupe' dan 'Slow Modern'.

Pertandingan tarian dalam negeri yang pernah disertainya ialah Pertandingan Individu CSTD (Persatuan Guru Tarian Komanwel), di mana beliau mendapat sebutan khas.

Pada 2015, Deanna menyertai pertandingan Asia's Got Talent bersama kumpulannya daripada Dance Thrilogy dan berjaya memasuki peringkat akhir.

Buat masa sekarang, Deanna sedang menumpukan perhatian pada pelajaran dan kelas tariannya di Sekolah Seni Singapura (Sota).

"Pada masa depan, saya ingin melakukan sesuatu yang dapat menyumbang semula kepada masyarakat," ujar Deanna, yang pernah bercita-cita menjadi doktor.

Menurut Cik Zalina, beliau mengesan perbezaan dalam diri Deanna dari segi perkembangan pelajaran sewaktu anak itu di tadika.

"Deanna anak yang bijak, namun kebijaksanaannya sukar diluahkan (dalam pembelajaran huruf dan ejaan)," ujarnya.

Cik Zalinah menemui pihak sekolah, namun mereka menasihati beliau jangan terlalu risau mengenai Deanna.

"Deanna pernah bertanya kepada saya mengapa dia tidak sepandai rakan-rakannya di kelas.

"Ada kalanya apabila saya pulang daripada kerja, saya melihat Deanna tidur dengan senarai ejaan. Namun dia tidak dapat mengingati ejaan yang telah dihafalnya," cerita Cik Zalina.

Beliau juga sedar bahawa anak yang selalu ceria itu agak muram dan kurang yakinan diri, seolah- olah ada sesuatu yang menghalangnya menunjukkan kebolehan sebenarnya.

Cik Zalina pernah membawa Deanna ke klinik pakar di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK dan mereka menyarankan Deanna dihantar ke DAS bagi pemeriksaan lanjut.

DAS mendapati Deanna mempunyai tahap intelektual tinggi, tetapi keupayaan membaca dan mengejanya tidak selaras tahap intelektualnya.

Ketika di darjah satu, Deanna menghadiri sesi terapi dua minggu sekali di DAS.

Sekolahnya ketika itu, Sekolah Rendah Temasek, memberi sokongan dan mengadakan kelas tambahan bagi membantunya.

Buku Clearly Different boleh didapatkan pada harga $28 senashkah di kedai buku terpilih atau $25 di pusat pembelajaran DAS di serata negara.

Keterangan lanjut boleh didapatkan di laman www.das.org.sg.