Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima bidang tumpuan M³+ diperbaharui, usaha rapatkan jurang kemajuan
Pendekatan baharu membolehkan rakan kerjasama teliti cabaran dengan lebih mendalam dan gembleng kepakaran
Lima bidang tumpuan M³+ diperbaharui, usaha rapatkan jurang kemajuan
Usaha merapatkan jurang kemajuan dalam masyarakat Melayu/Islam akan terus diperkukuh menerusi lima bidang tumpuan M Kuasa Tiga Plus (M³+) yang diperbaharui, dengan penekanan lebih besar terhadap perubahan bermakna yang dapat meningkatkan mutu kehidupan anggota masyarakat.
Lima bidang tumpuan tersebut ialah Pengukuhan Keluarga, Pembinaan Daya Tahan, Pemerkasaan Belia, Pembangunan Kerjaya, dan Penjagaan Kesihatan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata meskipun masyarakat Melayu/Islam telah mencatat kemajuan, manfaatnya masih belum dinikmati secara sama rata oleh setiap keluarga dan individu.
“Kita dapat melihat masyarakat kita bergerak maju dengan lebih pantas, tetapi masih terdapat kelompok besar yang memerlukan bantuan kami.
“Kami perlu berusaha lebih gigih untuk merapatkan jurang ini supaya lebih ramai anggota masyarakat dapat maju bersama.
“Di sinilah M³+ dapat memainkan peranan dengan mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian khusus, menggembleng kekuatan, dan bekerjasama untuk membawa masyarakat ke hadapan,” jelas beliau.
Berucap di Sesi Rangkaian M³+ ketiga di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar pada 22 November, Encik Zaqy, yang juga Penasihat M³+, menegaskan bahawa kejayaan kerjasama masyarakat tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dianjurkan semata-mata, sebaliknya melalui perubahan bermakna dalam kehidupan golongan yang dibantu.
Logo baharu M³+ turut dilancarkan bagi mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama demi kemajuan masyarakat.
Encik Zaqy menjelaskan bahawa pembaharuan lima bidang tumpuan M³+ bukan sekadar pertukaran nama, tetapi bertujuan memperjelas cabaran yang perlu ditangani, golongan yang ingin didekati serta hasil yang ingin dicapai.
Lima bidang tumpuan sebelum ini ialah Menyokong Keluarga Melalui Perkahwinan, Keibubapaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak; Menyokong Individu dan Keluarga Rentan; Memperkasa dan Membimbing Belia; Pekerjaan dan Daya Kerja; serta Mewujudkan Komuniti Sihat untuk Semua.
Sehubungan itu, lima sesi perbincangan kumpulan diadakan pada 22 November bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penyelesaian daripada peserta berhubung cabaran khusus di bawah setiap bidang tumpuan yang diperbaharui.
Antara isu yang diketengahkan termasuk usaha meningkatkan pendaftaran dan kehadiran kanak-kanak di prasekolah sejak usia awal, memperkukuh sokongan kepada bekas pesalah dan individu yang pernah menyalahgunakan dadah, serta membantu belia membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bermaklumat.
Perbincangan turut menyentuh usaha membantu lulusan baharu mendapatkan pekerjaan bermutu, menyokong wanita yang ingin kembali bekerja, meningkatkan kebolehpasaran pekerja matang, serta menggalakkan pemeriksaan kesihatan dan amalan pemakanan lebih sihat dalam masyarakat Melayu/Islam.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras M³+, Encik Mohamad Raihan Hafiz Mohd Rafiek, menjelaskan bahawa nama bidang tumpuan yang diperbaharui bertujuan memudahkan masyarakat memahami matlamat setiap bidang, di samping membolehkan pertubuhan terlibat memberi tumpuan lebih mendalam terhadap cabaran tertentu.
“Pada zahirnya, ia mungkin kelihatan seperti perubahan istilah semata-mata, tetapi pembaharuan kali ini memberi kita tumpuan yang lebih jelas tentang apa yang ingin dilakukan dalam setiap bidang.
“Sebelum ini, bidang tumpuan kami mempunyai skop yang lebih luas untuk mendekati lebih ramai anggota masyarakat.
“Kini, kami memperhalusi tumpuan itu supaya dapat meneliti setiap isu dengan lebih mendalam,” terangnya kepada Berita Minggu (BM).
Encik Raihan berkata penggabungan data berasaskan bukti daripada agensi pemerintah, kepakaran pertubuhan Melayu/Islam dan India/Islam, serta rangkaian akar umbi sukarelawan dapat membantu menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan.
Beliau turut berkongsi hasratnya untuk menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat Islam tampil menderma darah bagi membantu memenuhi keperluan bekalan darah negara.
Antara kemungkinan yang dibayangkannya ialah menetapkan sasaran seperti 10,000 pain darah pada 2027, namun cadangan itu belum diterima sebagai inisiatif rasmi M³+.
“Saya mahu kita beralih daripada dilihat sebagai masyarakat yang hanya memerlukan bantuan kepada masyarakat yang turut menyumbang,” luah beliau.