LIMA daripada 12 kes masyarakat Covid-19 yang dilaporkan kelmarin mempunyai kaitan dengan kelompok di Hospital Besar Changi (CGH).
Ia termasuk wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai porter di Hospital Universiti Nasional (NUH), seorang pelajar Politeknik Republik berusia 16 tahun dan seorang wanita berusia 69 tahun yang merupakan penolong penjagaan kesihatan di CGH.
Kini terdapat 10 pesakit dalam kelompok CGH. Pesakit pertama yang dilaporkan dalam kelompok itu ialah seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai porter di hospital tersebut yang diuji positif pada 23 Jun.
Tujuh kes masyarakat lain termasuk seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Rendah Zhangde yang berdekatan Bukit Merah.
Jangkitannya telah dikaitkan dengan kelompok di Pasar dan Pusat Makanan 115 Bukit Merah View.
Dia menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 10 Jun.
Satu-satunya kes tiada kaitan ialah seorang juruukur tangki (bunker surveyor) berusia 37 tahun yang bekerja di GW Marine dan telah diberi kedua-dua vaksin.
Terdapat dua kes diimport, seorang pemegang permit kerja dari Indonesia dan seorang penduduk tetap yang pulang dari India.
Secara keseluruhan, terdapat 14 kes baru koronavirus disahkan sehingga tengah hari kelmarin.
MOH juga berkata jumlah kes baru dalam masyarakat telah berkurangan dari 108 kes dua minggu lalu kepada 95 dalam minggu lalu.
Namun, jumlah kes tiada kaitan masyarakat dalam satu minggu telah meningkat dari 13 kes ke 18 dalam tempoh yang sama.
Semalam, Singapura melaporkan terdapat sembilan kes koronavirus disahkan sehingga tengah hari semalam.
Ini membawa jumlah kes Covid-19 di Singapura secara keseluruhan mencecah 62,553, kata MOH.
Dalam kalangan kes ini, empat merupakan kes masyarakat, sementara lima lain kes diimport.
Kesemua empat kes masyarakat mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini dan telah dikuarantin.
Dua daripada lima kes diimport merupakan warga Singapura yang pulang atau penduduk tetap.
Semua telah diletakkan di bawah notis jangan keluar rumah atau diasingkan setibanya di Singapura.
Tiada kes baru dilaporkan di dormitori pekerja asing.
Dengan 14 kes dibenarkan pulang kelmarin, seramai 62,180 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19.
Seramai 148 pesakit terus berada di hospital, termasuk empat dalam keadaan kritikal di unit jagaan intensif, sementara 165 sedang pulih di kemudahan masyarakat, sehingga tengah hari kelmarin.
Singapura mempunyai 36 kematian akibat komplikasi Covid-19, sementara 15 yang diuji positif meninggal dunia atas sebab-sebab lain.
Kematian terkini adalah seorang wanita berusia 84 tahun yang meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19 pada Sabtu lalu.
Beliau tidak divaksin dan mempunyai sejarah barah, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg