Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima ditangkap selepas wanita ditemui cedera di hotel Bugis; dua senjata dijumpa
Lima ditangkap selepas wanita ditemui cedera di hotel Bugis; dua senjata dijumpa
DUA wanita dan tiga lelaki berusia antara 16 hingga 23 tahun telah ditahan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya selepas polis tiba di sebuah hotel di kawasan Bugis pada Isnin (27 Mac).
Salah seorang remaja 19 tahun didapati cedera di sana dan dibawa ke hospital. Dia dalam keadaan sedar.
Remaja itu bersama seorang lelaki berusia 16 tahun dan wanita berusia 23 tahun, juga disyaki melakukan kesalahan dadah, kata polis. Dua lagi lelaki yang ditahan berusia 18 dan 22 tahun.
Polis mendapat panggilan meminta bantuan kira-kira 11.50 pagi. Saksi berkata, mereka melihat beberapa anggota polis dan kakitangan forensik di Hotel Rest Bugis di 8, Jalan Kubor, sekitar tengah hari.
Cik Allen Tong, 42 tahun, pengurus sebuah kafe di seberang hotel, berkata:
"Saya datang ke kafe itu kira-kira tengah hari dan melihat ramai polis di kawasan itu.
"Saya kemudiannya melihat polis membawa seseorang yang berambut perang keluar dari hotel dengan bergari."
Encik Giorgio Cetkovic, 39 tahun, seorang cef eksekutif untuk beberapa restoran di kawasan itu, berkata beliau melihat anggota polis bersarung tangan menggeledah lorong belakang di Jalan Kubor.
"Kakitangan dari kedai makan yang berbeza di kawasan itu keluar untuk melihat, tetapi kami tidak tahu apa yang berlaku," katanya.
"Polis nampaknya sedang mencari sesuatu dan cuba mendapatkan rakaman kamera keselamatan," katanya.
Dua senjata yang dipercayai objek tajam kemudian ditemui di kawasan itu.
Seorang lelaki yang bekerja di salah sebuah asrama berdekatan, yang tidak mahu dikenali, berkata polis menghampirinya dengan senarai nama dan nombor kad pengenalan, bertanyakan sama ada sesiapa dalam kalangan mereka tinggal di asrama itu.
Tiada seorang pun daripada mereka muncul dalam rekod asrama.
Salah seorang yang dipercayai remaja berusia 18 tahun yang ditahan itu adalah warga Indonesia, manakala yang lain semuanya warga Singapura, katanya.
Kakitangan di Hotel Rest Bugis pula enggan mengulas. Polis berkata siasatan sedang dijalankan. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata boleh dipenjara hingga tujuh tahun, denda dan rotan.