SAMBUTAN tahun baru 2018 tidak lengkap sekiranya tidak diraikan bersama-sama insan tersayang dan sahabat handai.
Bagi anda yang tidak mempunyai rancangan, mengapa tidak anda kunjungi lima tempat sambutan yang menganjurkan acara sempena tahun baru itu.
KIRAAN JELANG 2018 MARINA BAY SINGAPURA
Dikenali sebagai "acara kiraan detik terbesar Singapura setiap tahun", kawasan Marina Bay dan Civic District akan bermandi cahaya termasuk pelbagai pancaran cahaya animasi dan bunga api di sekitaran kawasan itu.
Cahaya animasi ini akan dipancarkan dari Hotel Fullerton Singapura, Merlion, dan Muzium ArtScience.
Diadakan dua kali setiap sejam bermula dari 8 malam hingga tengah malam, bangunan di sekitar kawasan Marina Bay akan diterangi pelbagai cahaya ungu, biru, dan putih secara serentak.
Selain itu, pengunjung juga boleh membeli-belah, berkelah atau menyaksikan pertunjukan bunga api di bazar yang terletak di The Float @ Marina Bay.
Pengunjung juga boleh kunjungi pameran galeri menarik di sekitar Civic District pada malam tahun baru ini.
Galeri Nasional Singapura akan dibuka sehingga 2 pagi manakala Muzium Tamadun Asia pula akan dibuka hingga tengah malam.
KARNIVAL PRUDENTIAL MARINA BAY
Karnival Prudential Marina Bay, akan mula dibuka dari 3 petang hingga 2 pagi di The Promontory dan Bayfront Event Space.
Para pengunjung boleh menikmati pelbagai persembahan daripada enam penyanyi rapper, elektronik pop, dan R&B Singapura seperti TheLionCityBoy, Jasmine Sokko, dan Myrne.
Mereka juga boleh sertai 40 permainan karnival di sana.
PANTAI SILOSO
Mereka yang ingin menyambut tahun baru secara santai boleh mengunjungi Pantai Siloso.
Anda yang berani boleh cuba sendiri permainan terjun lelabah di menara bungee AJ Hackett setinggi 15 tingkat.
Menara yang terletak di Pantai Siloso Sentosa ini merupakan satu-satunya menara bungee di Singapura. Oleh itu, jangan lepaskan peluang mencuba kegiatan ini.
KIRAAN JELANG 2018 DI QUAY
Selain kawasan Marina Bay, anda juga boleh sertai acara kiraan detik tahun baru di Clarke Quay.
Raikan tahun baru bersama deejay 987FM dan ikuti persembahan menarik oleh band tempatan Shirlyn & The UnXpected, serta pemain-pemain dram jalanan.
SAMBUT DENGAN BINTANG SALURAN 5
Namun jika anda lebih selesa menyambut tahun baru dalam suasana santai dan tidak sesak, anda boleh tonton Celebrate 2018: Party with the Stars yang akan ditayangkan secara langsung bermula 11 malam di Saluran 5.
Acara tersebut akan diserikan dengan persembahan oleh penyanyi tempatan seperti Taufik Batisah, Aisyah Aziz, The Sam Willows, Tabitha Nauser dan Sezairi di Kampus Mediacorp, Stars Avenue.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg