Pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) telah dikerah ke beberapa pantai awam di Singapura pada 15 Jun selepas limpahan minyak dikesan di East Coast Park, Keppel Bay, Pulau Lazarus dan Sentosa.
Ini berlaku sehari selepas kapal tangki kargo yang rosak, bocor hingga minyak mengalir ke laut di Terminal Pasir Panjang.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam hantaran di media sosial pada 15 Jun berkata, pegawai NParks juga telah mengerahkan sejenis alat ke laut untuk melindungi kawasan pantai daripada terus terjejas dek tumpahan minya tersebut.
“Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti.
“Orang ramai dinasihatkan agar menjauhkan diri (dari kawasan yang terjejas) kerana ada bau wasap yang kuat,” ujarnya.
Menerusi laman Facebook Sentosa, ia menyatakan bahawa perairan di pantai Tanjong, Palawan dan Siloso ditutup bagi kerja pembersihan.
“Sepanjang tempoh (kerja pembersihan) ini, pengunjung masih boleh menggunakan pantai kami, tetapi kegiatan berenang dan kegiatan lain di laut dan di sepanjang perairan tidak dibenarkan,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada 15 Jun, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) berkata mereka dimaklumkan mengenai adanya minyak di perairan sekitar Pantai Palawan sekitar 9 malam pada 14 Jun.
“Menerusi penilaian terperinci kira-kira 7 pagi (15 Jun), (minyak yang dikesan) telah mengalir hingga ke perairan di semua pantai kami iaitu di Palawan, Siloso, Tanjong serta Sentosa Cove,” kata SDC.
Sementara semua kegiatan pantai di dalam dan di sepanjang perairan telah dihentikan, SDC berkata keutamaan mereka kini adalah untuk mengurangkan kesan pada perairan dan kehidupan liar di sekitarnya.
Pada 14 Jun, sebuah kapal dari Belanda bernama, Vox Maxima, melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor.
Menerusi kenyataannya pada 15 Jun, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata mereka telah memaklumkan pengendali prasarana di persisiran, termasuk SDC dan terminal pelabuhan lain, agar memantau bagi pengesanan minyak di lokasi mereka, dan menjalankan kerja pembersihan jika perlu.
“Sebanyak 16 bot tindak balas tumpahan minyak telah dikerah untuk terus menjalankan usaha menangani minyak yang tumpah itu dan mengeluarkan lapisan minyak dari permukaan air,” ujar MPA.
Bagaimanapun, kejadian limpahan minyak itu tidak menjejas operasi pelabuhan di Terminal Pasir Panjang, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg