Sebanyak 10 lipas robot atau ‘cyborg’ dari Singapura telah dihantar ke Myanmar untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 yang melanda negara itu pada 28 Mac, yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa.
Serangga tersebut diterbangkan ke Myanmar dan menyertai pasukan Operasi Lionheart Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 30 Mac.
Ini merupakan kali pertama di dunia lipas ‘cyborg’ digunakan dalam operasi kemanusiaan, dan kali pertama robot serangga hibrid ini digunakan di tapak kejadian, lapor The Straits Times (ST).
Lipas ‘cyborg’ itu dibangunkan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) bersama Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Klass Engineering and Solutions.
Ia pertama kali digunakan pada 31 Mac di Myanmar dan dua kali pada 3 April di ibu negara, Naypyitaw.
Meski belum menemui mangsa yang terselamat, lipas ‘cyborg’ ini membantu pasukan menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas.
SCDF menghantar pasukan 80 anggota dan empat anjing pengesan ke Myanmar pada 29 Mac.
Pasukan HTX – yang terdiri daripada dua jurutera HTX dan dua jurutera dari Klass Engineering and Solutions, menyertai operasi tersebut pada 30 Mac bersama lipas ‘cyborg’ itu.
Setiap lipas Madagascar yang digunakan berukuran kira-kira 6 sentimeter panjang dan dilengkapi dengan kamera inframerah serta pengesan dan pergerakannya dikawal menggunakan elektrod.
Disebabkan saiznya yang kecil, ia mampu menyusup masuk ke ruang sempit di bawah runtuhan, sambil dikawal jurutera dari jauh.
Maklumat yang dikumpul melalui kamera dan pengesan mereka diproses oleh algoritma pembelajaran mesin, yang dapat mengesan jika terdapat mangsa yang masih hidup.
Maklumat ini kemudian dihantar kembali secara wayarles kepada jurutera, membantu pasukan dalam pengerahan anggota menyelamat.
Lipas ‘cyborg’ ini dipamerkan di Milipol Asia-Pacific dan TechX Summit di Singapura pada April 2024, dan dijangka akan mula digunakan sekitar 2026.
Meski masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D), bencana di Myanmar memacu HTX untuk mempercepatkan pembangunan teknologi ini bagi melengkapi usaha SCDF.
Bercakap dari Myanmar, jurutera dari Pusat Kepakaran Robotik, Automasi dan Sistem Tanpa Pemandu HTX, Encik Ong Ka Hing berkata pasukan HTX tiba di Yangon selepas penerbangan selama tiga jam dan berada di jalan raya selama tujuh jam lagi sebelum bergabung dengan anggota SCDF.
Mereka pada awalnya dikerahkan ke sebuah hospital runtuh pada 31 Mac. Lipas ‘cyborg’ digunakan untuk mengimbas runtuhan, selepas pemeriksaan dilakukan oleh anjing pengesan SCDF.
SCDF berjaya menyelamatkan seorang lelaki dari bawah bangunan tiga tingkat yang runtuh selepas lapan jam pada 30 Mac.
Encik Ong menambah, pengalaman terlibat dalam situasi ini memberi pengajaran yang mendalam, dan beliau yakin dengan potensi teknologi ini.
“Penilaian (teknologi lipas ‘cyborg’) di Singapura jauh berbeza. Di sini, keadaan adalah lebih dinamik dan penuh cabaran.
“Kami menghadapi beberapa masalah teknikal, dan ia tidak berjalan seperti yang diharapkan. Namun, pengalaman ini memberi banyak pengajaran berharga untuk mempertingkatkan operasi pada masa depan,” jelas Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg