Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loji tenaga suria terapung terbesar S’pura mula dibina di Kranji pada 2025

Jun 11, 2024 | 7:08 PM
Gambar fail menunjukkan panel suria di Tuas South. Loji tenaga suria terapung yang bakal dibina di Kranji dijangka mampu menghasilkan tenaga bersih 141 megawatt-puncak (MWp).
Gambar fail menunjukkan panel suria di Tuas South. Loji tenaga suria terapung yang bakal dibina di Kranji dijangka mampu menghasilkan tenaga bersih 141 megawatt-puncak (MWp). - Foto fail

Loji tenaga suria terapung terbesar di Singapura dijangka mula dibina di Kolam Air Kranji pada 2025.

Ini setelah kajian alam sekitar mendapati pemasangan panel suria kemungkinan tidak memberi kesan besar kepada biodiversiti di sana.

Projek itu – yang akan menjadi loji tenaga suria terbesar Singapura sejauh ini – akan memberi suntikan besar kepada usaha Singapura memanfaatkan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui.

Loji itu dijangka mampu menghasilkan tenaga bersih 141 megawatt-puncak (MWp), atau 112.5MWp, apabila ditukar kepada AC, iaitu voltan yang digunakan oleh grid elektrik dan kebanyakan peralatan elektrik Singapura.

Ini akan menyumbang kira-kira 7 peratus daripada sasaran Singapura untuk mencapai kapasiti tenaga suria sebanyak 2 gigawatt-puncak (GWp) menjelang 2030, menurut laporan penilaian alam sekitar.

Sasaran 2GWp itu boleh menjana tenaga yang mencukupi untuk memenuhi keperluan elektrik tahunan sekitar 350,000 isi rumah, lapor The Straits Times.

Menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), kapasiti suria Singapura adalah sekitar 1.2GWp pada suku pertama 2024.

Idea bagi loji tenaga suria itu kali pertama ditimbulkan pada 2018 oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), yang telah melancarkan Permintaan Maklumat waktu itu untuk meneroka kemungkinan membina sistem panel suria terapung 100MWp untuk kegunaan sektor swasta.

EDB waktu itu berkata sedang syarikat beralih kepada tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan jejak karbon atau kesan kepada alam sekitar, ketersediaan tenaga boleh diperbaharui di Singapura dilihat sebagai faktor yang mendorong pelaburan dan pengembangan perniagaan.

Pada 2019, syarikat teknologi maklumat Malkoha, anak syarikat Meta – yang juga memiliki wadah media sosial Facebook – telah dipilih oleh EDB untuk mengkaji kebolehlaksanaan teknikal projek itu, dan potensi kesan kepada alam sekitar.

Hasil kajian alam sekitar telah diterbitkan dalam talian pada 7 Jun, dan menyimpulkan kesan pembinaan dan operasi loji tenaga suria itu terhadap biodiversiti di kolam air itu boleh “diuruskan secukupnya dengan langkah-langkah mitigasi”.

Kerja-kerja pembinaan loji tenaga suria Kranji akan bermula pada 2025 dan loji itu akan beroperasi dari sekitar 2027 hingga 2028.

Kolam Air Kranji terletak berhampiran dengan beberapa kawasan sensitif dari segi ekologi, seperti Paya Kranji, Paya Simpanan Sungei Buloh, serta paya bakau Mandai Mangrove dan Mudflat.

Menurut penilaian kesan alam sekitar, yang dijalankan oleh perunding alam sekitar ERM untuk Malkoha dari 2020 hingga 2023, beberapa spesies burung yang perlu dipulihara didapati mencari makan di dalam kolam air itu atau di pinggirnya.

Untuk mengurangkan potensi kesan projek ke atas alam sekitar, hanya 21.5 peratus daripada kawasan permukaan kolam air itu akan ditutup dengan panel suria.

Kawasan sempadan sepanjang 50 meter pula harus diwujudkan di antara panel dan kawasan pinggir barat, menurut saranan dalam laporan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg