SEORANG wanita yang melontarkan kata-kata hina dan cabul berbaur perkauman kepada seorang wanita lain dalam bas selama lebih tujuh minit, dihukum penjara empat minggu semalam.
Mahkamah diberitahu Siti Ai'sha Jaffar, 40 tahun, memanggil mangsa, Cik Danaletchmi Selvam, 33 tahun, "orang India bodoh" dalam kejadian tanpa sebab itu.
Wajah Siti Ai'sha, yang tidak diwakili peguam dan tampil melalui pautan video berkerut dan dia menundukkan kepalanya sedang dua klip video kejadian itu dimainkan dalam mahkamah.
Dalam menjatuhkan hukuman pencegahan, Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata bahawa "tidak mungkin kesalahan (seperti) ini... dapat diterima dalam masyarakat kita".
Mahkamah mendengar bahawa kejadian itu berlaku pada 3 September tahun lalu sekitar 9.30 pagi selepas mangsa menaiki khidmat bas 182 dari Pusat Pemeriksaan Tuas.
Beliau sedang mendengar lagu menggunakan fon telinganya apabila beliau melihat Siti Ai'sha menunjuk dan merenung beliau.
Dalam dua klip video yang dimainkan dalam mahkamah, yang dirakam mangsa, Siti Ai'sha dilihat membuat gerak isyarat dan menjerit pada wanita itu, dan memanggilnya "minoriti".
Dalam klip pertama selama 15 saat, dia boleh didengar berkata: "Hati kau pun hitam... semuanya hitam", dan dalam klip kedua selama empat minit dan 21 saat, dia berkata: "Orang India bodoh... kau orang India, punyalah hitam... Aku benci kulit kau... Aku tak suka muka kau".
Selepas merakam tertuduh sebentar, mangsa bersemuka dengan Siti Ai'sha dan bertanya kepadanya apakah ada sesuatu yang salah, tetapi Siti Ai'sha terus membuat komen terhadapnya, kata pihak pendakwa raya.
Mangsa kemudian menghubungi polis dan meminta pemandu bas supaya berhenti dekat Singapore Discovery Centre.
Timbalan Pendakwa Raya Kwang Jia Min berkata serangan itu "tidak diberangsangkan langsung (dan) ditujukan pada warna kulit mangsa", dan menggesa mahkamah memberikan hukuman pencegahan, sambil merujuk kepada kejadian kata-kata berbaur perkauman yang dibuat di tempat awam baru-baru ini.
Bagi mengungkapkan kata-kata dengan niat sengaja untuk melukai perasaan agama atau kaum mana-mana individu, Siti Ai'sha boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, dikenakan denda atau kedua-duanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg