TIGA tuduhan terhadap seorang wanita yang didakwa melontarkan kata-kata berbaur perkauman dalam video telah ditarik balik setelah beliau dinilai mengalami sejenis gangguan di mana dia mempunyai khayalan bahawa orang lain berniat membahayakannya.

Dalam respons kepada pertanyaan akhbar The Straits Times, Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata semalam bahawa keadaan Cik Tan Beow Hiong, 59 tahun, menyumbang banyak kepada perbuatannya, dan pihak pendakwa kemudian memutuskan untuk memberinya amaran tegas.

Menyusuli persidangan sebelum perbicaraan kelmarin, mahkamah memberinya pelepasan yang bersamaan pembebasan, yang bermakna warga Singapura itu tidak boleh lagi didakwa dengan kesalahan yang sama.

AGC berkata keadaan Cik Tan - gangguan delusi bersifat khianat - menjejas pertimbangan sosialnya dan menegaskan sebarang prasangka yang beliau mungkin ada terhadap orang lain.

Cik Tan tidak mengetahui keadaannya, kata jurucakap AGC.

Beliau juga tidak bersedia menerima rawatan di bawah perintah rawatan mandatori sekiranya disabit kesalahan.

Pesalah yang diberi perintah sebegitu setelah disabit kesalahan perlu menjalani rawatan bagi keadaan mental mereka sebagai ganti kepada hukuman penjara.

AGC berkata semalam bahawa ia mengambil pendirian serius terhadap kata-kata atau kelakuan yang menjejas keharmonian kaum serta hubungan masyarakat Singapura.

Pesalah yang melakukan perbuatan seperti itu akan menerima tindakan sewajarnya, kata jurucakapnya.

Bagi setiap tuduhan melakukan perubatan yang memudaratkan pengekalan keharmonian antara kumpulan kaum berbeza, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga bulan dan didenda sehingga $2,000.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti