Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lontar kata-kata kesat kepada pegawai awam, wanita didenda $3,000

Dec 14, 2021 | 5:30 AM
c062d76f-f881-46c2-bfd2-acc1b3464b2e
-

SEORANG wanita warga Singapura, yang anak perempuannya ditahan pegawai penguatkuasa kerana merokok di kolong blok secara haram, telah melemparkan kata-kata penghinaan, termasuk komen perkauman kepada salah satu pegawai itu.

Zubaidah Zainal Abidin, 58 tahun, didenda $3,000 semalam setelah mengakui bersalah kepada salah satu tuduhan iaitu menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam.

Pegawai pendakwa negara (SPO) A. Majeed Yosuff memberitahu mahkamah bahawa Encik Kalidassan Ngappan, seorang warga Malaysia berusia 31 tahun, dan rakan pegawai penguat kuasanya telah mendapati anak perempuan Zubaidah, Nurul Asyiqin Abdul Rahman, merokok di kolong blok di Bedok Reservoir Road sekitar 2.50 petang pada 6 Mac tahun ini.

Kededua lelaki itu dari Certis Cisco dan bekerja bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada waktu itu.

Encik Kalidassan meminta kad pengenalan Nurul untuk memberi saman kepadanya.

Nurul menjawab bahawa dia tertinggal kad pengenalannya (IC) di rumah. Dengan itu, pegawai menyuruhnya untuk meminta seseorang untuk mengambilkan IC.

SPO Majeed berkata: "Sebaik sahaja tertuduh mendengar arahan itu, dia menjadi berang dan memberitahu (pegawai) bahawa dia dan Nurul menghadapi masalah dan meminta untuk tidak mengganggu mereka."

Zubaidah menambah bahawa tiada sesiapa di rumah untuk bantu mengambil kad pengenalan tersebut ke kolong blok.

Encik Kalidassan berkata polis perlu dipanggil jika identiti Nurul tidak dapat dipastikan, maka Nurul meminta ibunya mendapatkan kad pengenalannya di rumah.

Setelah Zubaidah kembali dengan kad pengenalan tersebut, dia enggan menyerahkannya kepada pegawai dan bertanyakan mengapa polis tiada di situ.

SPO Majeed berkata Zubaidah tetap berdegil dan tidak menyerahkan kad pengenalan itu kepada pegawai, sebaliknya menghubungi polis sendiri.

Sementara menunggu polis tiba, Zubaidah bersikap kasar dan terus mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Encik Kalidassan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Dia juga mengancam untuk menampar muka beliau.

Apabila polis tiba, mereka dapat memastikan identiti Nurul dan mendedahkannya kepada Encik Kalidassan.

Setelah insiden itu, Encik Kalidassan membuat laporan polis terhadap Zubaidah.

Di mahkamah, Zubaidah meminta kelonggaran denda kerana dia tidak bekerja.

Dia diperintahkan untuk membayar $200 saman dan baki $2,800 sebelum 7 Februari tahun depan.

Dia boleh didenda hingga $5,000, dipenjara hingga 12 bulan atau kededuanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg