SEMUA lori yang membawa pekerja migran kini harus dilengkapi dengan alat yang boleh mengehadkan kelajuan lori.
Seorang individu dalam lori itu juga harus dilantik untuk memainkan peranan memberitahu pemandu lori tersebut untuk berhenti sekiranya beliau terlalu penat atau memandu dengan berbahaya.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga akan memperkenal peraturan baru untuk memastikan pemandu yang membawa pekerja migran, lebih-lebih lagi mereka yang juga bekerja di tapak kerja, mendapatkan rehat yang mencukupi.
Ini selain peraturan sekarang yang mengehadkan waktu bekerja hingga 12 jam sehari dan hingga 72 jam bagi kerja lembur sebulan, menurut The Straits Times.
Menteri Negara Kanan, (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, mengumumkan langkah baru itu yang bertujuan melindungi secara lebih baik pekerja migran yang dibawa dengan lori.
Dr Khor berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Encik Melvin Yong (GRC Tanjong Pagar), serta pihak lain seperti kesatuan pekerja dan badan bukan pemerintah (NGO) yang ingin tahu sama ada pekerja migran boleh dibawa dengan cara lain selain lori.
Peraturan yang memerlukan semua lori yang membawa pekerja migran itu dilengkapi dengan alat yang boleh mengehadkan kelajuan dilanjutkan kepada kategori terakhir lori yang tidak perlu dilengkapi dengannya di bawah undang-undang, iaitu lori dengan berat muatan maksimum melebihi 3,500 kilogram.
Sekarang ini, lori dengan berat muatan maksimum lebih rendah sudah pun perlu dilengkapi dengan alat yang boleh memberi amaran kelajuan, manakala kenderaan lebih berat dengan berat muatan maksimum lebih 12,000 kilogram harus dilengkapi dengan alat yang boleh mengehadkan kelajuan.
Dr Khor tidak menyatakan apakah had kelajuan yang akan ditetapkan di bawah langkah baru itu.
Namun, Polis Trafik akan berbincang rapat dengan industri berhubung hal ini dan butiran lanjut akan didedahkan kelak.
Selain langkah baru yang diumumkan itu, Dr Khor juga berkata semua lori yang digunakan untuk membawa pekerja harus dilengkapi dengan kain kanvas kalis air untuk melindungi pekerja daripada hujan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg