MAJIKAN dan penyedia pengangkutan sekarang dibenarkan membawa bilangan maksimum pekerja yang tertera pada label Muatan Penumpang Maksimum (MPC) lori atau van, sejajar dengan permulaan fasa ketiga pembukaan semula Singapura semalam.

Mereka, bagaimanapun, perlu memastikan pekerja memakai pelitup dan tidak berbual atau berinteraksi bersama satu sama lain ketika dalam kenderaan, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) dalam surat makluman yang dikeluarkan semalam.

Dengan ini, pengurangan 25 peratus MPC tidak lagi diperlukan.

Sebelum ini, apabila Singapura keluar daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 pada 2 Jun, ruang duduk bagi setiap penumpang dalam lori atau van yang membawa pekerja tidak harus kurang daripada 0.496 meter persegi.

Ini bermakna pengurangan 25 peratus dalam MPC bagi setiap lori atau van.

Sebagai contoh, jika label MPC menetapkan muatan maksmum 36 orang, ia perlu dikurangkan kepada 27 penumpang.

Selain itu, majikan perlu mengatur pengangkutan privet bagi pekerja yang menginap di dormitori untuk berulang-alik ke dan dari tempat kerja mereka, dan tanpa disertai penumpang lain.

Langkah itu diperlukan bagi mengelakkan jangkitan antara pekerja asing yang tinggal di dormitori dan masyarakat dalam kedua-dua arah, kata MOM.

Jika perlu, majikan harus membuat peruntukan bagi kenderaan atau perjalanan tambahan.

"Majikan, penyedia pengangkutan dan pemandu dijangka mematuhi panduan di atas hingga diberitahu sebaliknya oleh pihak berkuasa," kata MOM.

Pada 19 Mei, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan pendekatan bertahap bagi menyambung semula kegiatan dengan selamat sedang Singapura keluar daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Ini termasuk amalan pengurusan selamat dalam pengangkutan awam, di mana penumpang dikehendaki memakai pelitup, elak berbual bersama satu sama lain atau di telefon bimbit, dan mengamalkan kebersihan diri baik.