PENUMPANG kereta api di sistem LRT Bukit Panjang terkandas di dalam gerabak hingga setengah jam pada Sabtu (19 Mei) dan akhirnya terpaksa berjalan di trek ke stesen terdekat.

Seorang pembaca akhbar The Straits Times menghantar gambar dan video penumpang di dalam gerabak yang dipetik dari rumahnya yang berdekatan. Imej lain menunjukkan penumpang berjalan di trek, termasuk seorang wanita dengan kereta sorong.

Pembaca itu, yang memberi namanya hanya sebagai Cik Lee, berkata beliau melihat gerabak itu dengan kira-kira 20 penumpang di dalamnya berhenti di trek pada 1.30 petang.

"Pasukan penyelamat datang pada kira-kira 2 petang, dan orang ramai dilihat berjalan pada 2.03 petang," katanya.

Hujan gerimis semasa mereka berjalan di trek, katanya.

SMRT berkata dalam satu tweet pada 2.17 petang bahawa tidak ada perkhidmatan kereta api di LRT Bukit Panjang akibat kerosakan kereta api antara Stesen Phoenix dan Bukit Panjang.

Dalam satu lagi tweet pada 2.53 petang, ia berkata perkhidmatan A kereta api telah diteruskan dan juruteranya "bekerja keras untuk memulihkan perkhidmatan B".

Ia memohon maaf atas kejadian itu dan berkata perkhidmatan bas percuma masih tersedia.

Kerosakan kereta api itu berlaku sehari selepas kerosakan singkat kereta api menyebabkan kelewatan pada Laluan Timur-Barat, dan dua hari selepas kerosakan pintu skrin platform menyebabkan kelewatan pada Laluan Utara-Selatan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti