Orang ramai boleh mengetahui tentang tujuh stesen baru yang bakal dibuka di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dengan menyertai acara pembukaan pada 21 Jun ini, dua hari sebelum ia dibuka secara rasmi untuk menerima penumpang pada 23 Jun.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menganjurkan acara pembukaan khas yang dinamakan ‘Journey Through Colours of the East’ untuk memperkenalkan tujuh stesen projek Tahap Empat Laluan Thomson-East Coast (TEL4) yang terbaru.
Stesen-stesen TEL4 merangkumi Tanjong Rhu, Katong Park, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore.
Acara itu akan berlangsung pada 21 Jun 2024 dari 12 tengah hari hingga 9 malam.
Semasa acara pembukaan, pengunjung dapat menaiki perjalanan kereta api percuma di sepanjang laluan TEL4 dan menikmati pelbagai kegiatan menarik.
Sorotan acara itu adalah pameran galeri ‘Reasons to Move Lite’, yang akan berlangsung di stesen Marine Parade.
Pameran galeri itu bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai menggunakan kaedah yang lebih mampan dalam pengangkutan mereka.
Bertempatkan di lantai concourse, pengunjung boleh melihat 24 visual reka bentuk unik yang mempamerkan sebab rakyat Singapura memilih pengangkutan awam, seperti menjadi mesra alam, mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga dan menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.
Pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam kegiatan menarik lain yang tersedia di reruai dan berkongsi mengapa mereka menaiki pengangkutan awam.
Ia kemudian akan dipamerkan sebagai karya seni kreatif pada stesen pengangkutan awam.
Di stesen Marine Parade pula, pengunjung juga berpeluang singgah ke gerai Knackstop yang menyediakan barangan eksklusif khas sempena pembukaan TEL4.
Hanya pada 21 Jun, barangan seperti kemeja-T, permainan susun suai gambar dan payung lipat akan dijual pada harga promosi.
Di samping itu, pengunjung boleh cuba menjadi seorang pemandu kereta api di simulator kereta api TEL di stesen tersebut.
Antara kegiatan lain yang disediakan ialah meneroka karya seni stesen dan tempat perlindungan pertahanan awam, permainan digital eksklusif, kuiz dan bermacam-macam lagi, dengan hadiah menarik menanti pemenang bagi permainan disediakan.
Pengunjung yang ingin ke stesen TEL4 boleh menaiki kereta api melalui Laluan Thomson-East Coast, dengan mengambil perkhidmatan kereta api ulang-alik percuma dari stesen TEL Gardens by the Bay ke stesen Tanjong Rhu.
Papan tanda akan disediakan pada hari tersebut di stesen Gardens by the Bay untuk membantu pengunjung.
Bas awam juga akan berhenti berdekatan dengan stesen TEL4 seperti bas nombor 11, 30 dan 158.
Sempena pembukaan TEL4 pada 23 Jun nanti, kekerapan ketibaan kereta api dari stesen Woodlands North ke stesen Bayshore ialah sekitar tiga minit pada waktu sibuk dan enam minit di luar waktu sibuk.
Keterangan lanjut mengenai kegiatan pada hari itu boleh didapatkan dengan melungsuri media sosial LTA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg