Topik diikuti
Pergi ke BHkuLTA akan lancar laluan basikal baru di Tampines
Bakal bentuk keseluruhan rangkaian 14 kilometer sepanjang estet perumahan itu
LTA akan lancar laluan basikal baru di Tampines
PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) bakal melancarkan laluan basikal baru di sekitar Tampines dalam beberapa bulan terdekat ini.
Laluan yang meliputi Tampines Avenue 1, 4, 5 dan 8 akan menghubungkan penduduk di situ ke stesen MRT Tampines West, Our Tampines Hub (OTH) serta ruang masyarakat menghijau seperti Taman Tampines Central dan Taman Tampines Green Forest.
Menurut LTA, dengan laluan baru itu, sebanyak 14 kilometer laluan berbasikal telah diperkenalkan di sepanjang kawasan perumahan itu.
Selain Tampines, penduduk di Taman Jurong juga kini boleh menikmati dan menggunakan laluan berbasikal sepanjang 5.6 kilometer (km) yang menghubungkan Lakeside dan stesen MRT Chinese Garden untuk ke sekolah, taman ataupun pasar yang terletak di sekitar kawasan perumahan tersebut.
Laluan itu turut dihubungkan dengan rangkaian Daerah Tasik Jurong yang sepanjang 15 km, sekali gus membolehkan penduduk mengunjungi kemudahan yang terletak di Jurong East dalam masa kurang 30 minit.
Dengan pelancaran laluan baru di Taman Jurong dan Tampines itu, laluan berbasikal kini merangkumi 500 km, merentasi seluruh Singapura.
Dalam satu kenyataannya semalam, LTA berkata bahawa usaha itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dalam dan antara bandar, selain memudahkan perjalanan penduduk dan meningkatkan keselamatan laluan.
Singapura merancang untuk mempunyai 1,300 km laluan berbasikal menjelang 2030.
Dalam pada itu, laluan baru juga sedang dibina secara berperingkat di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Panjang, Sembawang, Toa Payoh serta Yishun, tambah LTA.
Anggota Parlimen bagi GRC Jurong, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang melancarkan laluan berbasikal di Jurong semalam berkata kini terdapat lebih banyak ruang bagi pejalan kaki dan penunggang basikal untuk mengongsi laluan dengan selamat dan selesa.
"Ini dilancarkan tepat pada masanya kerana kita telah melihat lebih ramai penduduk berjalan dan berbasikal sepanjang tahun lalu, sama ada untuk bersenam, beriadah, berulang-alik ke tempat kerja atau menjalankan tugas di kawasan kejiranan," kata Encik Tharman, yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.
Sedang lebih banyak laluan berbasikal khusus dibina di seluruh negara ini, pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk meningkatkan keselamatan berhampiran perhentian bas, seperti dengan menggunakan jalur kawalan kelajuan dan laluan pintasan.
LTA berkata ia juga akan melancarkan penanda zon sekolah di laluan pejalan kaki di luar lebih 250 sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas.
Penanda telah diletakkan di sepanjang rangkaian laluan berbasikal untuk mengingatkan pengguna supaya terus berada di laluan yang ditetapkan atau memperlahankan kelajuan basikal mereka semasa menghampiri kawasan sesak.
"LTA akan meneruskan usaha pendidikan pelengkap dan usaha menjangkaui orang ramai untuk menggalak mereka menunggang dengan selamat, bertanggungjawab dan sopan," kata LTA.
