Sebagai sebahagian daripada percubaan enam bulan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), butang tanpa sentuh telah dipasangkan di Jalan Besar, berdekatan dengan Syed Alwi Road, dan Tampines Street 86, berhampiran dengan Blok 879A.

Lebih banyak butang tanpa sentuh juga akan dipasang di tiang lampu isyarat di kawasan penyeberangan jalan menjelang akhir bulan ini di Bukit Batok Street 32, berdekatan dengan Sekolah Rendah St Anthony's serta Yishun Street 21, berhampiran dengan Blok 219.

Timbalan pengarah trafik, jalan dan pencahayaan kemudahan penumpang LTA, Encik Jerry Heng berkata butang tekan yang ada sekarang telah menjadi rosak kerana digunakan berlebihan.

Ini menyebabkan butang itu tidak dapat menghantar isyarat semasa ditekan atau tersendat.

Butang yang lebih lama memerlukan lebih banyak usaha penyenggaraan dan dengan lebih 11,000 butang dipasang di 2,400 lampu isyarat, ini bermakna banyak kerja harus dibuat.

Justeru dengan alat tanpa sentuh ini, ia lebih mudah disenggarakan dan dipercayai, lantas menjimatkan kos dan tenaga kerja pada jangka masa panjang.

Ia juga dapat mengurangkan penyebaran Covid-19 dan penyakit lain, dengan percubaan serupa dijalankan di Australia dan Canada sejak beberapa tahun lalu, untuk tujuan ini.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan November tahun lalu bahawa percubaan butang tanpa sentuh di Melbourne menerima maklum balas positif dan menarik minat dari New Zealand, Ireland dan Singapura.

Kata Encik Heng, bagi memastikan kos percubaan itu rendah, butang tanpa sentuh yang diuji di sini adalah yang diubah suai daripada butang asal.