Cik Salwah (bukan nama sebenar), tidak pernah menyangka hubungan persahabatan yang terjalin sejak 2019 dalam kumpulan peminat penyanyi Malaysia Khai Bahar akan berakhir dengan kekecewaan dan kerugian lebih $40,000 sejak Jun lalu.
Setelah lima tahun saling mempercayai, ‘kawan’ yang dikenali dengan penampilan warak dan memakai niqab itu didakwa mengeksploitasikan kepercayaan Cik Salwah, 31 tahun, melalui kisah penyakit barah dan hutang tertunggak dikatakan disebabkan bil rawatan.
Hubungan antara Cik Salwah dengan individu yang dikenali sebagai Cik ‘Aqish’, yang mendakwa dirinya berusia 33 tahun, bermula di platform media sosial pada 2019 dan berkembang menjadi hubungan akrab sebagai kakak dan adik, berdasarkan nasihat agama dan simpati.
Kepercayaan Cik Salwah, seorang warga Singapura, terhadap warga Malaysia itu menjadi lebih kukuh apabila Cik Aqish mendakwa dirinya seorang doktor dan kemudian pengetua sekolah, bertambah pula dengan penampilan solehah dan juga seorang yang pandai membaca Al-Quran.
“Di dalam kumpulan peminat, ramai yang kenalnya sebagai ‘Kak Aqies’. Ramai juga yang ‘sanjung’ dia sebab katanya dia anak orang kaya dari Sabah, menghidap penyakit barah tetapi masih bersemangat dan kuat berjuang.
“Selalu kalau ada acara Khai Bahar, dia akan datang dengan baju cantik dan mewah,” ujar Cik Salwah kepada wartawan Berita Harian (BH).
Permintaan wang bermula dengan jumlah kecil (RM10 atau RM50) atas dasar sedekah, sebelum menjadi sumbangan bulanan tetap $150 setiap bulan sejak pertengahan 2021.
Meskipun mempercayai wanita itu berada, Cik Salwah tetap menghulurkan bantuan kerana tidak menilainya dan bersikap empati jika dia mempunyai masalah dan cabaran peribadi tersendiri.
Namun, sejak Disember 2024, permintaan wang mula melonjak kepada ribuan ringgit.
Wang itu didakwa diperlukan untuk membiayai rawatan kemoterapi barah, insurans, dan kos rawatan kaki akibat penyakitnya.
Jumlah terbesar yang dipindahkan mencecah RM35,000 ($11,000) pada Jun atau Julai 2025, setelah Cik Salwah didesak dengan dakwaan perlu menjalani rawatan kaki dan siap dihantarkan gambar kakinya berlumuran darah.
Pada 14 November, Cik Aqish didakwa menggunakan taktik pemerasan emosi dan mendesak pemindahan wang lagi dengan jumlah RM25,000 ($7,895) dan RM80,000 ($25,264).
Cik Aqish pula mendakwa Cik Salwah telah terlibat sebagai orang tengah dalam urusan peminjaman yang dibuatnya dengan menggunakan kad pengenalan milik individu yang telah meninggal dunia.
Sekiranya hutang itu tidak dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan, rahsia itu akan terbongkar dan Cik Aqish mengugut Cik Salwah juga akan turut ditangkap oleh polis kerana penglibatannya.
Di samping itu, Cik Aqish juga meminta bantu membayar wang insurans berjumlah RM80,000.
Ancaman itu telah menyebabkan Cik Salwah berada dalam tekanan mental yang tidak pernah dialami.
Oleh kerana terlalu tertekan, Cik Salwah akhirnya mendedahkan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian menasihatkan agar Cik Salwah mengabaikan desakannya, namun Cik Aqish menjadi lebih agresif.
Pada 14 November lalu, Cik Aqish telah menghantar lebih 50 mesej suara dalam sehari, mendesak wang dan menggunakan ugutan bunuh diri terhadap Cik Salwah.
“Dia mendesak dan asyik mengulangi, “Tolong, tolong. Saya tak ada sesiapa. Adik tolong saya.”
“Mesej-mesej itu dihantar sepanjang hari dan saya rasa seperti bersalah,” cerita pekerja penjagaan perkhidmatan itu, yang turut menceritakan Cik Aqish mengugut hendak terjun dari tempat tinggi sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.
Perhubungan Cik Salwah dengan Cik Aqish bukan sahaja di alam maya.
Cik Salwah mengakui telah berjumpa dengan Cik Aqish secara fizikal tiga kali sejak awal 2025, termasuk ketika menghadiri konsert dan acara bertemu peminat Khai Bahar di Malaysia dan Singapura.
“Pertemuan di acara-acara itulah yang membuatkan saya lebih percaya, kerana dia tidak kelihatan seperti penipu. Malah, dia nampak seperti seorang yang kaya dan baik hati, dia selalu belanja makan ketika kami bertemu di Johor Bahru,” ujar Cik Salwah, yang kini menyedari wang itu mungkin datang daripadanya.
Cik Salwah juga mendedahkan bahawa beliau hanya tersedar setelah berasa sangat terperangkap dengan ancaman dipenjarakan.
“Saya bersyukur saya buat keputusan untuk bertanya kepada ibu saya. Kalau tidak, saya mungkin akan terus dipergunakan,” katanya, sambil menambah kini beliau hanya pasrah dan kecewa setelah lima tahun persahabatan berakhir dengan apa yang dirasakan satu pengkhianatan.
Mengulas insiden yang berlaku dalam kalangan peminat pelantun lagu ‘Luluh’ itu, pengurus Khai Bahar, Encik Mohammed Rizal Mohammed Yasin, mengesahkan pihak pengurusan dimaklumkan tentang insiden itu pada 17 November.
Beliau menekankan bahawa tindakan penganiayaan sesama peminat dikecam dan tidak boleh diterima.
“Kami menegaskan bahawa pihak pengurusan sama sekali tidak menyokong sebarang tindakan menganiaya antara satu sama lain, terutama dalam kalangan peminat kami. Apa yang berlaku dalam kalangan peminat adalah di luar kawalan dan bidang kuasa kami. Namun, tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan hak asasi manusia,” tegas beliau.
Encik Rizal turut memberikan peringatan kepada semua peminat agar menjaga diri dan mengelak daripada menjadi mangsa.
BH telah mencuba menghubungi nombor Cik Aqish tetapi tidak berjaya.
Panggilan terus ke peti simpanan suara dan mesej di WhatsApp tidak dapat dihantar.
Cik Salwah telah dinasihatkan oleh ibu bapanya untuk tidak berinteraksi lagi dengan pelaku.
Namun, beliau kini menghadapi kesukaran mendapatkan kembali wangnya kerana wang tersebut dipindahkan atas dasar perbuatan baik dan memandangkan pelaku warga Malaysia, ia memerlukan kos dan proses perundangan yang rumit.
Cik Salwah berharap kisahnya ini menjadi amaran kepada yang lain.
Beliau turut mendedahkan, ada peminat lain yang mendakwa ramai lagi yang juga mengenali Cik Aqish sebagai seorang yang suka meminjam duit.
“Saya sangat kecewa. Saya sudah anggapnya sebagai kakak. Saya hanya ingin tahu kenapa dia lakukan ini kepada saya. Kenapa saya? Apa betul dia gunakan duit yang saya pindahkan selama ini untuk penyakit barah? Rawatan? Saya nak tahu.
“Saya harap perkara seperti ini tidak akan berlaku kepada orang lain. Jika ini semua penipuan, saya tidak mahu dia berjaya mencari mangsa seterusnya,” kata Cik Salwah yang tidak dapat tahan sebaknya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg