Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lulusan ekonomi lebih rela jadi penternak ikan

Jan 14, 2024 | 5:30 AM
PINDAH KOLAM: Cik Hillary Lee (kanan) membantu memindahkan ikan koi dari tangki kuarantin ke baldi biru untuk rumah baru di kolam tanah ladang. Koi yang pada mulanya ditempatkan di kolam konkrit itu menjalani kuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
PINDAH KOLAM: Cik Hillary Lee (kanan) membantu memindahkan ikan koi dari tangki kuarantin ke baldi biru untuk rumah baru di kolam tanah ladang. Koi yang pada mulanya ditempatkan di kolam konkrit itu menjalani kuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Di pinggiran Lim Chu Kang, jauh dari keriuhan bandar, terletak sebuah ladang ikan koi yang dikenali sebagai Marugen Koi Farm.

Di sana, Cik Hillary Lee, 24 tahun, menjalani kehidupan sebagai penternak ikan-ikan koi.

Walaupun memiliki ijazah dalam bidang ekonomi, Cik Lee memutuskan untuk meninggalkan kerjaya bergaji tinggi di sebuah syarikat berbilang negara Jepun untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan.

“Saya memang minat ikan,” kongsi beliau sambil tersenyum semasa mendedahkan minat yang mendalam terhadap akuakultur.

“Tempat temu janji ideal saya ialah kedai akuarium yang besar.”

BERI MAKAN IKAN: Cik Hillary Lee memberi makan kepada sekumpulan koi yang diimport dari Jepun dengan campuran makanan yang berbeza yang membantu pertumbuhan dan peningkatan warnanya.
BERI MAKAN IKAN: Cik Hillary Lee memberi makan kepada sekumpulan koi yang diimport dari Jepun dengan campuran makanan yang berbeza yang membantu pertumbuhan dan peningkatan warnanya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Menghadapi cabaran kewangan selepas ibunya bercerai, Cik Lee memilih laluan pendidikan konvensional untuk menjamin masa depan kewangan beliau. Tetapi, beliau berasa kurang puas dengan kehidupan korporat yang membuatnya berasa “letih dan kekosongan jiwa”.

Keputusan untuk berpindah kerja tidak diambil dengan ringan.

Cik Lee dengan teliti menyelesaikan hutang universitinya dan menyimpan dana kecemasan selama enam bulan sebelum memulakan langkah barunya itu.

Dengan menerima potongan gaji sebanyak 50 peratus, beliau mengubah gaya hidupnya menjadi lebih sederhana, tinggal di ladang tersebut, dan menemui kebahagiaan dalam hobinya seperti bermain yo-yo dan mengenang masa lalunya sebagai pemain profesional.

HIBURKAN DIRI: Selepas sehari suntuk bekerja, Cik Hillary Lee berehat dengan bermain yo-yo, hobi yang dihargai dari masa lalunya sebagai pemain profesional, ketika masa lapang dan bernostalgia di ladang.
HIBURKAN DIRI: Selepas sehari suntuk bekerja, Cik Hillary Lee berehat dengan bermain yo-yo, hobi yang dihargai dari masa lalunya sebagai pemain profesional, ketika masa lapang dan bernostalgia di ladang. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
MAKAN SECARA SEDERHANA: Cik Hillary Lee duduk di dapur ladang untuk makan tengah hari yang dibeli dari pusat beli-belah Lot 10 malam sebelumnya, sejuk dan tidak panas kerana ketiadaan microwave.
MAKAN SECARA SEDERHANA: Cik Hillary Lee duduk di dapur ladang untuk makan tengah hari yang dibeli dari pusat beli-belah Lot 10 malam sebelumnya, sejuk dan tidak panas kerana ketiadaan microwave. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Namun, menceburkan diri ke dalam kehidupan ladang memberi cabaran. Antara lain, Cik Lee menghadapi isu seksisme (diskriminasi jantina) semasa mencari kerja.

“Ada satu ladang yang menolak permohonan saya dengan alasan bahawa ini bukan pekerjaan yang sesuai untuk seorang wanita kerana tuntutan fizikalnya,” jelas beliau.

Namun, segala itu tidak menggoyah semangatnya.

TUNTUTAN FIZIKAL: Cik Hillary Lee memikul beg makanan ikan seberat 15 kilogram di bahunya selepas membungkusnya untuk pesanan dalam talian.
TUNTUTAN FIZIKAL: Cik Hillary Lee memikul beg makanan ikan seberat 15 kilogram di bahunya selepas membungkusnya untuk pesanan dalam talian. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Tugasan Cik Lee di Marugen Koi Farm ialah menguruskan pentadbiran dan pertanian seperti menjaga ikan koi yang dibesarkan di ladang, mengurus pesanan dalam talian, dan membantu rakan petani. Beliau juga aktif menyelenggara ladang dan berinteraksi dengan pelanggan, membantu mereka memilih dan membeli ikan koi.

TUGAS PENTADBIRAN: Cik Hillary Lee menumpukan perhatian pada tugas di mejanya, mengurus pesanan dalam talian dan tugas pentadbiran ladang itu.
TUGAS PENTADBIRAN: Cik Hillary Lee menumpukan perhatian pada tugas di mejanya, mengurus pesanan dalam talian dan tugas pentadbiran ladang itu. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Cik Lee berkata menjaga udang peliharaan dan udang krai adalah pengalaman yang tidak ternilai baginya.

“Menjaga udang peliharaan mengajar saya asas penyelenggaraan ikan. Penternakan ikan berasaskan pada prinsip yang sama... hanya pada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau mendalami pengetahuan dengan membaca buku panduan komprehensif mengenai pertanian koi dan menghabiskan banyak masa di ladang.

Menurut Cik Lee, kehidupan sosialnya telah berubah setelah memilih untuk tinggal di ladang.

“Hentian bas terdekat 15 minit jauhnya, dan mengambil masa sejam untuk sampai ke stesen MRT terdekat. Saya hanya keluar apabila perlu,” jelasnya.

Cik Lee berharap persepsi masyarakat Singapura terhadap pertanian, yang sering kurang dihargai berbanding kerjaya korporat, akan menjadi lebih positif.

“Banyak pekerjaan yang sangat penting seringkali tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya,” katanya dengan serius.

Mengenai rancangan masa depannya, Cik Lee berkata beliau mahu mendalami ilmu dalam bidang pertanian dan tidak menolak kemungkinan berpindah ke negara seperti Australia atau New Zealand yang lebih menghargai pertanian.

“Rancangan saya adalah untuk kekal dalam industri penternakan ikan,” tegas Cik Lee, menetapkan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi seorang teknisyen akuakultur.

BAKA TEMPATAN: Cik Hillary Lee menunjuk koi tempatan yang dibiakkan dari kolam tanah. Beliau tekun menjaga dan memberi makan ikan setiap hari sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya di ladang.
BAKA TEMPATAN: Cik Hillary Lee menunjuk koi tempatan yang dibiakkan dari kolam tanah. Beliau tekun menjaga dan memberi makan ikan setiap hari sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya di ladang. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
BERBASIKAL: Cik Hillary Lee mengayuh basikal ladang di sepanjang laluan tanah, meninggalkan ladang untuk perjalanan 1 km ke perhentian bas terdekat.
BERBASIKAL: Cik Hillary Lee mengayuh basikal ladang di sepanjang laluan tanah, meninggalkan ladang untuk perjalanan 1 km ke perhentian bas terdekat. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

“Saya lebih suka terlibat secara langsung dan mempunyai minat mendalam pada haiwan berdarah sejuk. Ia mengambil masa agak lama bagi saya menyedari bahawa minat ini boleh menjadi asas kerjaya saya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg