Biasanya, ibadah korban bagi Cik Nurfareha Fithri Ahmad Faizal merupakan satu urusan keluarga.
Bapanya, Encik Ahmad Faizal Rosti, lazimnya akan menempah haiwan korban dan keluarga mereka akan menerima sebahagian daging manakala selebihnya akan diagihkan.
Namun pada 2025, lulusan Politeknik Ngee Ann dengan Diploma dalam Kejuruteraan Elektrik itu – yang baru sahaja menghadiri majlis penyampaian diploma pada 7 Mei – memutuskan untuk mengambil laluan berbeza.
Buat kali pertama, anak sulung tiga beradik itu menempah seekor haiwan korban menggunakan wang simpanan peribadinya yang disifatkan sebagai langkah “merendahkan hati dan memperkasakan diri”.
Menurut Cik Nurfareha, awalnya, bapa beliau teragak-agak tentang idea tersebut memandangkan anaknya itu belum lagi memulakan pekerjaan sepenuh masa dan masih di bawah tanggungan orang tua.
“Daripada perspektif bapa saya, saya masih belum memulakan kerja sepenuh masa yang sewajarnya dan masih di bawah tanggungannya.
“Dengan pendapatan yang sederhana sebagai seorang lulusan diploma, saya benar-benar faham mengapa beliau rasa begitu.
“Menggunakan pendapatan saya sendiri, walau sekecil mana sekalipun, menjadikan pengalaman ini terasa amat peribadi.
“Ia bukan lagi sekadar menunaikan ibadah semata-mata, tetapi satu bentuk pengorbanan sebenar,” ujar beliau, yang bekerja sebagai seorang guru penjagaan selepas sekolah selama enam bulan.
Cik Nurfareha memilih untuk menempah seekor kambing dari Indonesia melalui Perdaus dan mengambil pakej korban yang merangkumi pengagihan wakaf Al-Quran.
Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan di beberapa kampung di Malang, manakala mushaf Al-Quran pula akan disumbang kepada para pelajar tempatan.
Beliau membayar $185 untuk pakej korban tersebut.
Menyentuh tentang keputusannya itu, Cik Nurfareha percaya pengagihan mushaf Al-Quran itu dapat menyumbang dalam bentuk yang memberi manfaat jangka panjang, atau sedekah jariah.
“Dulu, saya tidak dapat membaca Al-Quran tanpa bantuan huruf Rumi, tetapi alhamdulillah kini saya sudah mampu membacanya dengan bimbingan kelas mengaji.
“Setelah mempelajari lebih mendalam tentang ayat Al-Quran, saya ingin berkongsi nikmat ini dengan orang lain, dengan harapan Al-Quran tersebut dapat memanfaatkan sesiapa yang membacanya,” kongsi beliau.
Meskipun kos merupakan satu faktor dalam pemilihan pakej korban itu, Cik Fareha menekankan bahawa keutamaan tetap diberikan kepada siapa yang akan menerima daging korban tersebut.
“Tidak semua orang mampu makan daging setiap hari, atau setiap bulan, dan bagi saya, apabila mereka dapat makan daging setahun sekali pun, itu sendiri sudah merupakan satu pencapaian buat saya untuk membantu mereka,” ujar beliau.
Cik Nurfareha turut menekankan seseorang tidak perlu menunggu hingga mencapai kedudukan tertentu dalam kehidupan untuk membawa perubahan bermakna.
“Ia membuktikan anda tidak perlu tunggu sehingga lebih berusia, lebih stabil, atau berpendapatan tinggi untuk mula memberi manfaat kepada yang lain,” kata beliau.
“
“Menggunakan pendapatan saya sendiri, walau sekecil mana sekalipun, menjadikan pengalaman ini terasa amat peribadi. ... Ia membuktikan anda tidak perlu tunggu sehingga lebih berusia, lebih stabil, atau berpendapatan tinggi untuk mula memberi manfaatkan kepada yang lain.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg