SEMASA beliau terdengar bunyi kuat di luar pagi semalam, Encik Mardzuki Matnor tidak menjangkakan sebarang perkara yang luar dari kebiasaan telah berlaku.
Pada masa itu kawasan rumahnya di Bukit Batok West masih dilanda hujan lebat dan guruh sejak 6 pagi.
Encik Mardzuki yang bekerja sebagai seorang pegawai polis auksiliari berusia 42 tahun, tinggal di tingkat tiga Blok 439B.
Beliau baru sedar letupan berlaku selepas menonton klip video yang dikongsi di WhatsApp dan Facebook.
Klip tersebut - yang dirakam melalui kamera kereta - menunjukkan letupan di salah sebuah lurang di hadapan tempat letak kereta di estet tersebut.
"Pemandu kereta itu begitu dekat dengan letupan tersebut. Jika beliau berada di kawasan itu, mungkin beliau cedera," katanya.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), ia telah menerima panggilan pada 9.10 pagi berkaitan letupan yang berlaku di Blok 439 Bukit Batok West.
SCDF menambah kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kebakaran dan tiada kecederaan yang dilaporkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg