SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

M. Nasir ziarah pusara ayah, lawat ibu uzur

M. Nasir ziarah pusara ayah, lawat ibu uzur

Awalnya tidak dapat bersama keluarga sempurnakan jenazah ayah di SG ekoran penutupan sempadan
May 5, 2022 | 5:30 AM

M. Nasir ziarah pusara ayah, lawat ibu uzur

TATKALA bapa tersayang menghembuskan nafas terakhir di Singapura tahun lalu, pemuzik mapan, Datuk M. Nasir, hanya mampu menitipkan doa dari jauh.

Walaupun hasrat menyempurnakan jenazah dan memberi penghormatan terakhir cukup menebal, harapannya itu terpaksa dipendamkan kerana ketika itu, sempadan antara Singapura dengan Malaysia masih ditutup kerana penularan Covid-19.

Justeru, sebaiknya sempadan dibuka sepenuhnya pada 1 April lalu, Nasir merebut peluang itu untuk pulang ke Singapura dan menziarahi pusara arwah bapanya, Allahyarham Mohamed Sam yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 96 tahun.

Menurut Nasir, beliau juga bergegas ke Singapura untuk menemui ibunya, yang tidak ditemuinya sejak dua tahun lalu.

"Alhamdulillah, dapat juga saya menziarah pusara selepas setahun pemergian arwah. Saya juga berpeluang menemui ibu yang sudah semakin uzur.

"Dalam kalangan adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang menetap di Kuala Lumpur. Dalam fikiran saya, ada macam-macam perasaan," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman dan memori manis bersama arwah bapanya, pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini mengakui, beliau cukup rapat dengan arwah bapa yang juga idolanya itu.

"Memori dengan arwah sangat banyak. Antara yang masih saya ingat adalah arwah suka bawa saya pergi berkebun disebabkan kediaman berdekatan landasan kereta api di Woodlands.

"Arwah juga seorang yang suka pergi ke masjid dan dari situlah, arwah dilantik menjadi imam.

"Bila Ramadan tiba, arwah akan bawa saya pergi ke masjid," imbas penyanyi lagu Mentera Semerah Padi ini.

Sebagai anak, Nasir mengakui beliau banyak mewarisi sifat bapanya itu.

"Arwah sangat berdisiplin dan tidak banyak cakap. Dan sifat itulah juga yang saya warisi.

"Walaupun arwah bukan seorang yang garang, saya tetap kena sebat jika buat salah.

"Tetapi, ia bukanlah bermakna saya seorang yang nakal jika kena sebat. Apapun saya tahu, arwah sangat menyayangi saya," ungkap anak keempat sembilan beradik itu.

Beliau ditemui di sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang juga komposer tersohor itu turut membongkar rahsia di sebalik pembikinan lagu Satu Hari Di Hari Raya yang diciptakan empat dekad lalu.

"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi. Kali pertama, lagu ini dirakamkan intro muzik ini menggunakan gitar. Masa itu, saya masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Polygram.

"Selepas menyertai label BMG, saya merakamkan semula lagu ini, tetapi ada sedikit perubahan. Saya menggantikan muzik gitar kepada seruling hasil tiupan Mohar.

"Apabila dibuat perubahan, saya dapat rasakan kelainan kepada lagu ini kerana bunyinya seperti 'berhantu' dan mudah untuk diingati. Kiranya, intro muzik menjadi tanda dagang untuk lagu ini," imbau M Nasir.

Mengulas mengenai liriknya yang puitis dan tidak klise seperti lagu Raya lain, Nasir memberitahu, beliau sengaja menongkah arus bagi menyuntik unsur berbeza.

"Saya memang peminat lagu Raya sejak kecil lagi. Apabila berpeluang menghasilkan lagu Satu Hari Di Hari Raya sekitar 1980-an, saya nak buat kelainan.

"Kebanyakan lagu Raya pada masa itu liriknya berkisar kepada suasana Hari Raya. Maka, akan adalah lirik mengenai ketupat rendang, maaf zahir batin dan banyak lagi.

"Untuk lagu ini, saya memang tak tulis perkataan ini. Namun, liriknya masih lagi menterjemahkan semangat menyambut Hari Raya, muhibah dan ikatan kekeluargaan antara anak dengan orang tua," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas konsep persembahan yang bakal diketengahkan, Nasir memaklumkan, beliau tetap akan menyanyikan lagu popularnya walaupun ramai yang menyangkakan tema konsert adalah Lebaran.

"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan ia dianjurkan pada bulan Syawal. Ia juga adalah judul lagu Raya popular saya.

"Walaupun konsert berkonsepkan makan malam, saya akan pastikan penonton akan terhibur dan auranya tetap sama seperti konsert yang pernah dijayakan di lokasi lain," ujarnya.

Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan pada 27 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), 8 malam.

Persembahan selama 90 minit itu bakal menyaksikan Nasir mendendangkan 20 lagu popular.

"Alhamdulillah, dapat juga saya menziarah pusara selepas setahun pemergian arwah. Saya juga berpeluang menemui ibu yang sudah semakin uzur... Memori dengan arwah sangat banyak. Antara yang masih saya ingat adalah arwah suka bawa saya pergi berkebun disebabkan kediaman berdekatan landasan kereta api di Woodlands. Arwah juga seorang yang suka pergi ke masjid dan dari situlah, arwah dilantik menjadi imam. Bila Ramadan tiba, arwah akan bawa saya pergi ke masjid." - Datuk M. Nasir mengenai bapanya, Allahyarham Mohamed Sam.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg