Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M3 mahu perkukuh program peringkat awal: Zaqy

Jun 19, 2021 | 5:30 AM
TINJAU PROGRAM: Presiden Halimah Yacob (kiri) dan Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri) meninjau program KelasMateMatika, kelas pengayaan yang mengajar konsep asas pengiraan. - Foto fail
TINJAU PROGRAM: Presiden Halimah Yacob (kiri) dan Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri) meninjau program KelasMateMatika, kelas pengayaan yang mengajar konsep asas pengiraan. - Foto fail -

RANGKAIAN M Kuasa Tiga (M3) akan terus memperkukuh program bagi melengkapi pelajar Melayu/Islam dengan kemahiran dan kesediaan agar dapat terus bertahan dalam sistem pendidikan Singapura.

Dan ini akan dilakukan melalui pendekatan 'upstream' atau sokongan yang diberikan kepada keluarga daripada peringkat awal kanak-kanak itu iaitu dari kehamilan sehingga anak itu berusia enam tahun.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki berkata, pendekatan sedemikian akan menjadi tumpuan badan bantu diri itu, sepanjang lima tahun akan datang untuk memastikan kanak-kanak Melayu lebih bersedia melangkah ke Darjah 1.

Ini menurutnya akan dilaksanakan menerusi program yang diusahakan rangkaian M3 seperti KelasMateMatika@CC dan Kelas Siap Sekolah (KSS).

"Kami dapat lihat persediaan awal dapat memberikan permulaan yang baik untuk kanak-kanak apabila mereka langkah ke Darjah 1.

"Ia amat diharapkan menerusi program ini anak-anak Melayu kita akan meraih kecemerlangan bermula di peringkat prasekolah dengan persediaan yang lebih baik, agar lebih yakin menjalani sistem pendidikan, sekali gus mencatat prestasi yang lebih cemerlang di masa depan," katanya.

Beliau turut menambah usaha yang dijalankan M3 akan turut didampingi program-program negara yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

Program sedemikian dikhususkan untuk membantu pelajar yang kurang mahir secara akademik atau mereka yang datang daripada latar belakang yang mencabar.

Ini termasuk program sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan lebih banyak sokongan akademik serta pusat jagaan pelajar yang berpangkalan di sekolah-sekolah rendah atau program pendamping selepas sekolah atau "Gear-Up" di sekolah menengah bagi pelajar yang sekitaran rumah tidak begitu kondusif.

Para pelajar ini akan meraih manfaat melalui sekitaran lepas sekolah yang berstruktur dan selamat melalui interaksi bersama rakan dan golongan dewasa yang positif.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula berkata menerusi pendekatan sedemikian, ia dapat memastikan bahawa kanak-kanak dan keluarga Melayu dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada sistem pendidikan sedia ada.

"Bagi keluarga yang mungkin tidak mengetahui bahasa Matematika kami akan membantu mereka agar kanak-kanak Melayu membesar memahami Matematik dengan yakin dan selesa.

"Ini kerana ada ibu bapa yang mengharapkan sekolah untuk memberikan pembangunan yang diinginkan untuk anak-anak mereka. Justeru, kami mahu mendekati mereka dari awal," katanya.

Selain usaha yang dijalankan rangkaian M3, Encik Masagos juga berkata pendekatan 'upstream' ini akan juga mendedahkan keluarga Melayu kepada program pemerintah.

Ini termasuk seperti program Uplift dan KidStart, yang menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan anak daripada bayi hingga enam tahun dengan melengkapi ibu bapa dengan kemahiran dan pengetahuan relevan bagi pembangunan anak, interaksi bersama anak dan juga aspek kesihatan.

Usaha pemerintah lain juga termasuk program mendekati prasekolah yang membantu mendaftarkan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas yang belum lagi memasuki prasekolah.

"Melalui usaha ini, ia akan memberi masyarakat peluang terbaik selain mengembangkan potensi mereka agar meraih kejayaan di masa akan datang," kata Encik Masagos lagi. - SHAHIDA SARHID

"Kami dapat lihat persediaan awal dapat memberikan permulaan yang baik untuk kanak-kanak apabila mereka langkah ke Darjah 1. Ia amat diharapkan menerusi program ini anak-anak Melayu kita akan meraih kecemerlangan bermula di peringkat prasekolah dengan persediaan yang lebih baik, agar lebih yakin menjalani sistem pendidikan, sekali gus mencatat prestasi yang lebih cemerlang di masa depan." - Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan) Zaqy Mohamad

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg